PULUHAN ribu rakyat Argentina mengadakan demonstrasi semalam dalam mogok yang turut menyebabkan pesawat terkandas dan bank dan kedai ditutup untuk membantah dasar ekonomi Presiden Mauricio Macri.
Persatuan pemandu trak antara kumpulan utama menggesa protes itu yang menyaksikan pesawat diletakkan di landasan dan bas transit berbaris di terminal.
Trafik di laut juga tergendala, kebanyakan sekolah ditutup dan banyak kedai serta bank turut ditutup.
Populariti Macri menjunam sejak beberapa bulan terakhir, tanda yang mengecewakan bagi presiden itu yang mengharapkan menang penggal kedua dalam pilihan raya tidak lama lagi.
Dalam usaha mengurangkan defisit negara, kerajaan tahun lalu melancarkan pelan penjimatan yang turut memotong perkhidmatan rakyat yang berpendapatan rendah.
Langkah itu sebagai pertukaran untuk pinjaman AS$56 bilion daripada International Monetary Fund bagi membantu negara Amerika Selatan bergelut dengan krisis mata wang dan kenaikan harga.
Inflasi sepanjang tempoh 12 bulan lalu kira-kira 55%, sementara kuasa berbelanja rakyat biasa jatuh.
Pengangguran meningkat, kemiskinan kini menjejaskan 32% populasi dan 41% kanak-kanak, dengan perniagaan memberhentikan pekerja menyebabkan penurunan penggunaan.
Mogok itu sebahagian daripada protes yang diadakan persatuan peniaga pada awal April yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berarak di Buenos Aires membantah dasar ekonomi Macri. – AFP, 1 Mei, 2019.
Komen