Jutawan Ikhwanul Muslimin dipenjarakan seumur hidup di Mesir


MAHKAMAH di Mesir semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas jutawan dan ahli perniagaan Ikhwanul Muslimin, Hassan Malek atas kesalahan keganasan dan “menjejaskan ekonomi negara”, kata pihak berkuasa mahkamah.

Beliau berkata mahkamah keselamatan negara menjatuhkan hukuman sama terhadap anak lelakinya, Hamza Malek, seorang lagi ahli perniagaan terkemuka, Abdul Rahman al-Seoudi, dan empat yang lain.

Tiga defendan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 14 yang lain dibebaskan. Keputusan mahkamah semalam masih boleh dirayu.

“Pihak pendakwa mendapati bahan organisasi Ikhwanul Muslimin dengan rancangan untuk menjejaskan ekonomi negara dengan mencipta desakan berterusan untuk dolar AS bagi menurunkan nilai wang Mesir terhadap mata wang asing,” kata pihak berkuasa.

Mahkamah turut mendapati defendan bersalah “merancang tindakan keganasan menyasarkan tentera dan polis selain sektor pelancongan, termasuk pelancong Eropah dan Rusia”.

Malek, tokoh yang juga bekas penasihat tidak rasmi kepada presiden Mesir Mohamed Morsi sebelum disingkirkan, memperoleh kekayaan menerusi rangkaian kedai komputer, elektronik dan perabot.

Seoudi, yang juga dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup mempunyai rangkaian pasar raya beroperasi di seluruh Mesir.

Pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap anggota Ikhwanul Muslimin selepas tentera menggulingkan Morsi pada 2013. Ribuan daripada mereka dipenjarakan sejak itu. – AFP, 1 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen