Himpunan besar tunjuk perasaan di Sudan esok


Ketidaksepakatan dengan tentera membawa kepada pengumuman himpunan sejuta orang pada 2 Mei bagi menegaskan desakan mereka, iaitu pemerintahan rakyat di Sudan. – Gambar EPA, 1 Mei, 2019.

PENUNJUK perasaan di Sudan semalam menggesa himpunan besar-besaran diadakan, bertegas mendakwa tentera tidak serius untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat hampir tiga minggu selepas ia menggulingkan presiden autokratik Omar al-Bashir.

Desakan itu dibuat ketika ketegangan makin teruk berhubung penubuhan majlis kerjasama rakyat-tentera untuk mentadbir Sudan, dengan penunjuk perasaan mengukuhkan pengadang mereka di depan ibu pejabat tentera di ibu kota Khourtoum.

Kedua-dua pihak menerusi wakil dalam majlis itu sepatutnya menggantikan badan tentera yang mengambil alih kuasa selepas Bashir digulingkan pada 11 April, atas desakan protes besar-besaran terhadap pemerintahannya selama tiga dekad.

Tentera mendesak untuk melantik 10 ahli majlis termasuk tujuh wakil tentera dan tiga rakyat.

Ketidaksepakatan itu membawa kepada Alliance for Freedom and Change mengumumkan “himpunan sejuta pada 2 Mei bagi menegaskan desakan mereka, iaitu pemerintahan rakyat.

“Majlis tentera tidak serius tentang menyerahkan kuasa kepada rakyat,” kata pemimpin Persatuan Profesional Sudan (SPA) Mohamed Naji al-Assam, yang mengetuai protes itu.

“Mereka bertegas mengatakan majlis kerjasama itu perlu diketuai oleh tentera dengan wakil daripada rakyat,” kata Assam, menambah tentera mahu “meluaskan kuasanya setiap hari”.

“Masyarakat antarabangsa patut menyokong pilihan rakyat Sudan.” – AFP, 1 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen