KETEGANGAN agama dan larangan memakai purdah oleh kerajaan sejak serangan bunuh diri pada sambutan hari Easter memaksa wanita Islam di Sri Lanka tidak memakai tudung dan jubah di tempat awam.
Penduduk Islam di negara itu berasa mereka menjadi sasaran sejak pengebom nekad membunuh lebih 250 orang dalam serangan serentak di enam gereja dan hotel.
Ramai wanita berkata mereka tidak lagi memakai niqab, tudung dan abaya sejurus selepas serangan, yang didakwa dilancarkan militan IS.
Pada Isnin, kerajaan melarang wanita memakai niqab di tempat awam, menjadikan ia dalam kumpulan sama dengan beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Denmark dan Belgium.
Penduduk Sri Lanka seramai 21 juta merangkumi pelbagai etnik dan agama, dikuasai majoriti Buddha Sinhalese.
Penduduk Islam 10% daripada rakyat negara itu manakala Kristian kumpulan agama ketiga terbesar.
“Saya tidak lagi memakai abaya dan hijab sejak beberapa hari lalu disebabkan komen dan pandangan yang diberikan kepada saya.
“Saya akan memakainya semula apabila keadaan semakin tenang dan orang ramai semakin kurang paranoid.
“Hijab tidak dilarang tetapi orang ramai memandang saya dengan curiga apabila mereka melihat saya memakainya,” kata seorang balu, yang enggan dikenali.
Pendakwah yang juga pemimpin pertubuhan wanita, Mareena Thaha Reffai berkata lebih baik mematuhi larangan berbanding mencetuskan perbalahan agama.
“Ini bukan masa bertelagah mengenai hak. 250 maut, 500 cedera.
“Biarkan emosi tenang. Mari kita bercakap mengenai larangan itu dengan santai,” katanya. – AFP, 1 Mei, 2019.
Komen