KHAMIS 26 April, 6.20 petang, Kuala Lumpur dilanda hujan lebat. Dari Menara KLCC menuju Jalan Pinang yang jaraknya tidak sampai 3km sesak teruk, Simon terkandas lebih sejam.
Siapa Simon? Dia pemandu e-hailing sambilan.
Di Menara UOA 2, saya menanti hingga jam 7.12, barulah Simon muncul dengan kereta kecilnya.
Apabila saya duduk di kerusi penumpang, kami sama-sama merungut. Simon letih terperangkap dalam kesesakan jalan; saya merungut letih menunggu di tepi bangunan.
“Kamu pemandu sambilan?” Tanya saya cuba menghiburkan Simon yang nampak letih dan bosan.
“Ya, bos. Saya kerja runner alat ganti kereta. Balik kerja 5 petang hingga 9 malam saya bawa Grab.”
“Sudah kahwinkah? Anak berapa?” Tanya saya.
Lelaki berbadan gempal dengan potongan rambut semi punk, separuh tersedak. Dia segera berpaling dan memandang pada saya dengan wajah terkejut.
“Haiya bos… saya takkan kahwin lor. Saya boleh mati maa kalau kahwin!,” jawabnya.
Saya pula terkejut dan hampir ketawa. Simon nampak lucu dan mirip Afdlin Shauki. Gempal dan tembam serta mata bulatnya gambaran dia memang kelakar.
“Kenapa takut kahwin maa?” ajuk saya dalam tempo slanga Cina.
“Haiya… gila sekarang. Gaji RM3 ribu pun, mau kena bawa Grab lagi. Itu pun tak cukup. Kahwin punya jam, saya bini mahu kasi makan apa?,” jawabnya dengan suara bersungguh-sungguh.
Simon gempal ini juga mengingatkan saya pada aktor Hong Kong, Sammo Hung Kam Bo. Cuma, dalam Grab, Simon lebih komedian.
“Sekarang berapa umur?” Tanya saya.
Simon menjawab pantas: “36!”
“Haiya… bila mau ada anak kalau tak mau kahwin sekarang?,” umpan saya.
Simon ketawa kuat dan nampak sangat lucu dengan soalan saya.
“Saya ada satu abang. Sudah ada dua anak. Sekarang sekolah. Saya bantu,” kata Simon dengan nada serius memberikan penjelasannya.
“Dulu ekonomi baik. Abang saya tukang paip. Dia boleh dapat RM5,000 satu bulan. Sekarang susah. Satu bulan belum tentu dapat RM2,000 pun,” kata Simon.
Simon dan keluarga abangnya tinggal di rumah pusaka warisan ibu bapa di Puchong.
Sebagai juru jual alat ganti kereta, dia mengharapkan pendapatan tambahan RM1,500 sebulan bagi membantu abangnya.
Namun perjanjian dua beradik itu diikat dengan syarat, menurut Simon.
“Saya bawa dia punya kereta. Saya kasi bayar ini kereta juga kasi wang sama dia sikit. Tapi sudah tujuh bulan maa… saya tak ada gaji juga bawa ini kereta. Wang bayar ansuran kereta. Lain semua kasi abang,” katanya.
Mendengarkan cerita ini saya terharu. Nilai komedi Simon hilang tiba-tiba. Saya melihat sudut kebaikan luar biasa anak muda ini. Dia bukan lagi mirip bintang komedi terkenal Hong Kong, Kent Cheng yang masyhur dengan watak Fei Mao.
Simon mengingatkan saya mengenai kesukaran hidup hari ini bukan saja menjadi rungutan anak muda Melayu.
Ini era sukar bagi anak semua bangsa di Malaysia. Proses menyesuaikan diri dengan persekitaran kerajaan PH memerlukan waktu. Persekitaran ekonomi yang menekan sejak lima tahun lalu, belum ketemu solusi yang praktikal.
Ekonomi tidak memburuk sejak 9 Mei, 2018. Malah lima tahun sebelum itu, sejak BN menang PRU13, keadaan ekonomi sudah mulai menjunam. Kos sara hidup meningkat setiap tahun ketika pendapatan isi rumah tetap kekal di takuk lama.
“Kalau Melayu, gaji RM3,000 sudah lama kahwin,” kata saya.
Dia senyum dan menganggukkan kepala.
“Melayu percaya, kahwin dulu nanti Tuhan Allah beri rezeki kepada setiap anak. Cuma, bapa kena berusaha,” kata saya.
“Ya. Saya jumpa ramai kawan Melayu. Sudah kahwin tapi bawa Grab dan jual insurans juga. Sangat susah. Gaji RM3,000 tinggal KL lagi, mana cukup. Wang habis beli barang dapur, bayar rumah dan kereta saja. Kalau dapat anak, lagi mati maa,” kata Simon.
Kami sama-sama ketawa kuat.
“Awak tak cari girlfriend?” Tanya saya.
Kali ini Simon menjawab pantas dan nadanya serius.
“Tak mau. Sama saja macam ada bini maa. Pakai wang juga mau kasi dia semua benda. Mati lorrr!”
Saya ketawa kuat dan kali ini, Simon terpinga-pinga dan hanya memerhatikan saja.
Perjalanan kami ke Cheras masih terjebak jalan yang sesak di sekitar Bukit Bintang.
Kami berbual dan berbual. Soal kehidupan dan keluarga. Saya belajar banyak perkara, terutama melihat kualiti sikap tanggung jawab generasi baharu.
Simon bekerja membantu abangnya dan berasa penting memberikan peluang pendidikan terbaik kepada dua anak saudaranya.
“Tak ada belajar tinggi nanti jadi macam saya maa,” kata Simon.
“Tak apa. Jadi macam awak. Asalkan orang baik,” kata saya.
Akhirnya, kereta Simon sampai di pintu masuk kawasan kediaman. Saya minta dia berhenti di luar pondok pengawal. Saya ucapkan selamat malam.
Simon bergurau: “Lain kali… bos jangan bayar pakai kad debit maa. Itu wang, dua minggu baru masuk akaun saya. Lambat dapat gaji maa…”
Saya terkesima. Dia ketawa kuat sambil mengangkat tangan dan memandu pergi.
Simon yang hensem dan comel. Namun, takut berkahwin. Kos sara hidup dan pengalaman melihat kesempitan kewangan abangnya jadi mimpi ngeri.
Simon antara anak muda Malaysia yang sedang berusaha keras meneruskan kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran. Jumlah 60,000 pemandu e-hailing antara petunjuk, survival anak muda sekarang untuk membebaskan diri daripada belenggu kewangan.
Saya teringat purata kenaikan gaji di sebuah syarikat. Dalam tempoh lima tahun terakhir, purata kenaikan kurang 2% setahun. Satu gambaran aneh kerana kadar inflasi tahunan kekal di atas 3%.
Seperti Simon, anak muda Malaysia berdepan era baharu yang komplikated. Kualiti hidup mereka terjejas kerana perlu melakukan kerja sampingan untuk wang tambahan. Lebih menyedihkan, walaupun memiliki dua pekerjaan, kualiti hidup tetap di takuk lama.
Faktor ekonomi antara sebab utama anak muda bangkit mengubah negara pada PRU14 lalu. Kesukaran hidup era BN menjadikan mereka nekad mengubah senario kerajaan negara ini.
Harapnya, kerajaan PH sekarang memahami hakikat ini. Ekonomi adalah de facto perubahan kerajaan. Sekiranya harga reformasi undi PRU lepas dirasakan tidak berbaloi, tidak mustahil anak muda bangkit sekali lagi mengubah undi pada PRU15 akan datang.
Berbalik pada Simon yang hensem. Pada saya, pertemuan dengan si gempal ini meninggalkan impak berbeza. Dia tidak terlalu politiking. Kes Simon takut berkahwin bukankah totok isu ekonomi. Dia belum bertemu cinta sejatinya.
Itulah rumusan saya. – 1 Mei, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen