Tahun sukar, tetapi Putrajaya jangka pelaburan akan masuk


Sheridan Mahavera

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking berkata pembinaan, pembuatan dan penjualan antara sektor utama dijangka menarik bahagian besar dalam pelaburan tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mei, 2019.

PEMBINAAN, pembuatan dan penjualan antara sektor utama dijangka menarik bahagian besar dalam pelaburan tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Beliau berkata pentadbiran baharu juga mahu fokus baharu dalam merangsang sektor pertanian bagi mengurangkan kos import bahan makanan dan mencipta sumber pendapatan baharu untuk penduduk tempatan.

Walaupun ia akan menjadi tahun mencabar bagi pelaburan susulan faktor yang di luar kawalan Malaysia, Leiking berkata kerajaan komited untuk mencapai atau memperbaiki pencapaiannya bagi tahun lalu.

Pada 2018, Malaysia memperoleh RM201.7 bilion bagi pelaburan langsung domestik dan asing, naik berbanding RM200.1 bilion pada 2017.

Pencapaian terbesar ialah bagaimana negara ini berjaya mendapatkan lebih 48% pelaburan langsung asing (FDI) berbanding 2017. FDI tahun lalu meningkat kepada RM80.5 bilion daripad RM54.4 bilion pada 2017.

“Ia akan penuh cabaran kerana seperti yang anda lihat, dalam suku pertama tahun ini, kami menerima maklum balas negatif daripada rakyat, atas alasan yang mereka saja tahu,” kata bekas peguam itu pada taklimat media sempena setahun menjawat jawatan menteri.

“Tetapi kami menjangkakan pertumbuhan tetap sama. Saya tidak lihat pertumbuhan merosot, kerana asas kita agak baik, rakyat kita berdaya tahan dan kerajaan ini akan bertindak balas kepada pasaran bila perlu.”

Sejak mengambil alih kerajaan pada 9 Mei tahun lalu, pentadbiran PH terpaksa berdepan dengan kritikan dan syak wasangka tentang dasarnya dan gambaran ditunjukkan tentang keadaan kewangan negara.

Pendedahan pentadbiran itu tentang bagaimana skandal seperti 1Malaysian Development Berhad (1MDB) merosakkan wang simpanan negara dan menyebabkan hutang besar, turut dikritik kerana dikatakan menakutkan pelabur.

Antara berita negatif terbaru ialah tentang bagaimana Malaysia mempunyai pasaran saham terburuk di rantau ini kerana ia “sangat, sangat membosankan”.

Tetapi Putrajaya berkata pencapaian FDI pada 2018, di mana 57% diterima antara Jun dan Disember selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, menolak dakwaan pengkritiknya. – 1 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen