Yayasan Wilayah Persekutuan sedia diteliti, kata Khalid


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersedia untuk ‘membuka buku mereka’ kepada pihak yang ragu-ragu mengenai fungsi organisasi berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2019

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) bersedia untuk ‘membuka buku mereka’ kepada pihak yang ragu-ragu mengenai fungsi organisasi berkenaan, kata Khalid Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan yang juga pengerusi YWP memberi maklum balas selepas soalan berkenaan peranan yayasan itu dibangkitkan.

Khalid berkata, mereka bersedia mendedahkan akaun yayasan kerana tidak ada apa yang perlu disembunyikan.

“Sekiranya orang tidak berpuas hati dan mahu melihat akaun kami, kami bersedia menunjukkannya.

“Kami benar-benar telus,” katanya di ibu pejabat Dewan Bandaraya hari ini.

Khalid memberi maklum balas selepas dipersoalkan penduduk atas peranannya dalam mengendalikan pembangunan luar bandar.

Ini termasuk projek perumahan Taman Rimba Kiara yang kontroversi di Taman Tun Dr Ismail.  

Beliau berkata, tujuan utama yayasan adalah untuk menjana pendapatan untuk program kebajikan.

“Yayasan memerlukan wang untuk menjalankan program. Itulah sebabnya Dewan Bandaraya meluluskan projek kepada yayasan untuk menjana pendapatan bagi melaksanakan program kebajikan. – 30 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen