Penerbangan SAS batal kerana juruterbang mogok 


Ribuan penumpang syarikat penerbangan SAS Sweden terkandas selepas juruterbang syaikrt itu melancarkan mogok sejak Jumaat lalu. – Gambar EPA, 30 April, 2019

SYARIKAT penerbangan Sweden SAS pada Selasa mengumumkan pihaknya terpaksa membatalkan 504 lagi penerbangan pada Rabu, yang menyebabkan 47,000 penumpang terjejas berikutan tindakan juruterbang meneruskan mogok yang memasuki hari ke lima.

Sejak mogok dilancarkan Jumaat lalu, kira-kira 3,300 penerbangan dibatalkan, menjejaskan hampir 327,000 penumpang, menurut syarikat itu.

“Saya sangat bimbang sekiranya masalah juruterbang mogok ini masih belum diselesaikan dan ia terus menjejaskan pelanggan kami,” kata ketua pegawai eksekutifnya Rickard Gustafson dalam satu kenyataan.

“Kesatuan masih belum menyatakan kesediaan mereka untuk mendedahkan tuntutan dan kembali ke meja rundingan, yang bermakna kami masih dalam keadaan buntu,” tambahnya.

Juruterbang syarikat berkenaan menuntut gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik dan Persatuan Juruterbang Sweden, yang melancarkan mogok itu, berkata rundingan sejak beberapa bulan lalu gagal mencapai sebarang keputusan.

“Orang tengah kini sedang berhubung dengan pihak berkenaan, namun tiada rundingan dijalankan,” kata pengarah komunikasi Bosse Andersson kepada AFP.  – AFP, 30 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen