MAHKAMAH Tinggi hari ini membenarkan permohonan balu mendiang penyiasat persendirian (PI) P. Balasubramaniam untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah dan dua individu lain.
Shafee, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Dr Ganesanathan Shanmuganathan didakwa cuba menghalang ahli perniagaan Deepak Jaikishan memberi keterangan dalam kes saman balu PI Bala, A. Santamil Selvi terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dengan memalsukan sijil sakit Deepak.
Dalam afidavitnya, Santamil mendakwa Deepak dihalang memberi keterangan di mahkamah kerana ia akan mengaitkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor dengan pengusiran Bala serta keluarganya ke India pada 2008.
Santamil berkata keluarganya terpaksa hidup dalam buangan di India disebabkan pengakuan berkanun Bala berkaitan kes Atlantuya Shaariibuu.
Santamil itu menuntut ganti rugi RM840,000 termasuk bayaran sewa sebuah pangsapuri di Chennai, India, yuran persekolahan dan hilang punca pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am dan khas serta kos lain.
Peguamnya, Americk Singh Sidhu memberitahu The Malaysian Insight, Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar membenarkan permohonan ex-parte itu pagi tadi. – 30 April, 2019.
Komen