PEMBUAT kapal terbang Amerika Syarikat, Boeing telah menjalankan penerbangan ujian tambahan terhadap pesawat Max menggunakan perisian yang sudah dikemaskini sebagai sebahagian daripada persediaan untuk pensijilan, lapor agensi berita Sputnik, memetik kenyataan akhbar syarikat.
“Boeing terus mencatatkan kemajuan ke arah mendapatkan sijil pengesahan dengan menyempurnakan ujian penerbangan kejuruteraan menggunakan perisian terbabit - ujian penerbangan terakhir menjelang penerbangan pensijilan.
“Secara keseluruhan, juruterbang berbakat kami melakukan 146 penerbangan Boeing 737 Max membabitkan kira-kira 246 jam di udara menggunakan perisian yang dikemaskini itu.
“Hampir 90 peratus daripada lebih 50 syarikat penerbangan yang menggunakan Max di seluruh dunia, sudah pun menguji perisian dikemaskini itu ketika sesi ujian simulator,” menurut kenyataan akhbar berkenaan.
Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg berkata, perisian anti-nahas pada jet Boeing 737 Max sudahpun lengkap melalui proses ujian menerusi 120 ujian penerbangan membabitkan 230 jam di udara.
Lembaga piawaian penerbangan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat sudah menilai perisian terkini syarikat itu dan memutuskan ia perlu ‘sesuai dioperasikan’ dan mencadangkan juruterbang harus menjalankan ujian tambahan menggunakan sistem baharu itu.
Dua Boeing 737 Max terhempas dalam tempoh enam bulan - sebuah di Indonesia pada Oktober 2018 dan sebuah lagi di Habsyah pada Mac lalu.
Berikutan nahas itu, pihak berkuasa penerbangan dan syarikat di seluruh dunia menggantung semua operasi kapal terbang jenis berkenaan atau menghalang kapal terbang itu menggunakan ruang udara masing-masing.
Siasatan terhadap insiden itu masih berjalan tetapi pakar percaya sistem bantuan pengemudian pesawat terbabit menjadi punca nahas. – Bernama, 30 April, 2019
Komen