PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ada hikmahnya kerana ekonomi negara tidak akan mampu bertahan tanpa pendapatannya, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Beliau berkata kerajaan membuat keputusan yang sukar untuk memperkenalkan GST, tetapi pelaksanaan itu tepat pada masanya selepas pendapatan Malaysia daripada hasil industri gas dan minyak menghadapi krisis.
“Ada hikmahnya kerana ketika kita laksanakan GST, harga minyak turun.
“Daripada AS$100 setong, ia turun kepada bawah AS$50, dan tiba-tiba lebih RM20 bilion pendapatan berkaitan minyak, hilang.
“Nasib baik kita laksanakan GST. Sebahagian pendapatan yang hilang itu ditampung oleh GST, dan kita berjaya bertahan dalam krisis minyak. Hingga hari ini, ekonomi masih berkembang,” katanya pada Persidangan GST 20177 di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata kutipan daripad a GST dan cukai lain dinikmati oleh rakyat menerusi subsidi untuk penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain.
“Bagi dasar fiskal jangka panjang, ia distrukturkan supaya kita tidak perlu meminjam terlalu banyak, tetapi defisit juga menurun, dan pada tahun ini, kita dalam kedudukan yang baik untuk mencapai defisit 3%.
“Tahun depan, angkanya akan lebih rendah dan diharapkan pada satu hari kelak, kita akan dapat mencatat bajet seimbang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk mengkorporatkan jabatan kastam pada Januari tahun depan.
Pada 13 Mac lepas, Perdana Menteri Najib Razak berkata pengkorporatan itu merupakan ganjaran kerajaan kepada jabatan itu atas kecemerlangannya, dan menambah para petugas akan menikmati skim perkhidmatan yang lebih baik.
Katanya, langkah itu ditangguhkan susulan pelaksanaan GST pada April 2015. – 18 September, 207.
Komen