FORUM yang Statut Rom yang mengetengahkan ahli akademik yang diselubungi kontroversi berhubung perjanjian antarabangsa itu dibatalkan tanpa diketahui sebabnya.
Forum itu sepatutnya diadakan di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) petang ini. Bagaimanapun, The Malaysian Insight mendapati auditorium yang menjadi lokasi forum itu diadakan ditutup.
Forum itu mengetengahkan ahli akademik undang-undang Prof Dr Rahmat Mohamad, Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz Fareed Mohd Hassan and Hisham Hanapi.
Bulan lalu, mereka menyediakan dan membentangkan rumusan eksekutif kepada Majlis Raja-Raja mengenai implikasi undang-undang sekiranya Putrajaya menandatangani Statut Rom yang menjadikan Malaysia sebagai ahli Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Ini adalah hujah mereka yang kononnya meyakinkan raja-raja Melayu untuk menentang rancangan kerajaan kerana Sultan yakin bahawa menandatangani perjanjian itu akan mengancam institusi diraja.
Pada satu forum diadakan di Universiti Malaya yang mengetengahkan isu sama pada 27 April lalu, Peguam Negara Tommy Thomas dan pakar perundangan lain berhujah bahawa statut berkenaan tidak memberi ancaman kepada kedudukan raja berperlembagaan.
Ahli panel terbabit turut menuduh empat ahli akademik berkenaan mengelirukan Majlis Raja-Raja.
Forum yang dijadualkan hari ini dilihat akan memberi peluang kepada empat ahli akademik terbabit mempertahankan pendirian mereka. Pakar monarki Melayu Prof Dr Zainal Kling, yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM juga dikatakan hadir pada program berkenaan.
Kakitangan fakulti terbabit berkata, jabatan itu tidak dimaklumkan berhubung program hari ini atau pembatalannya.
“Program ini dibawah jabatan lain, mereka hanya gunakan auditorium kami,” kata kakitangan yang enggan dikenali. – 30 April, 2019
Komen