Siklon Kenneth ragut 38 nyawa di Mozambique


Agensi bantuan berkata siklon Kenneth mencetuskan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di bahagian pantai utara Mozambique. – AFP, 30 April, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 38 maut di utara Mozambique akibat Siklon Kenneth, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Institut Pengurusan Bencana Nasional pada Isnin.

Siklon itu mendarat pada Khamis lepas dengan angin berkelajuan maksimum 220km sejam (136 mph).

Menurut anggaran awal institut itu, sejumlah 39 orang cedera manakala lebih 23,000 lagi hilang tempat berlindung dan kira-kira 35,000 kediaman rosak sebahagian atau musnah sama sekali.

Agensi bantuan berkata siklon itu mencetuskan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di bahagian pantai utara.

Kenneth adalah siklon kedua yang membadai Mozambique hanya enam minggu selepas Siklon Idai melanda serta meragut nyawa hampir 1,000 orang di seluruh Mozambique, Zimbabwe dan Malawi.

Siklon Kenneth melewati Kepulauan Comoros sebelum membadai Mozambique.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata ia akan menyalurkan dana kecemasan sebanyak AS$13 juta kepada Mozambique dan Kepulauan bagi membantu menyediakan makanan serta air selain memperbaiki kerosakan infrastruktur. – Bernama, 30 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen