Keluar Bersatu keputusan Anina sendiri, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Presiden Bersatu Muhiyiddin Yassin berkata keputusan Anina Saadudin untuk keluar daripada parti itu adalah keputusannya sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2017.

KEPUTUSAN pengasas bersama Bersatu, Anina Saadudin untuk keluar daripada parti itu adalah keputusannya sendiri, kata Muhiyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata Anina ada datang bertemunya beberapa bulan lalu untuk memaklumkan niatnya keluar parti.

“Beliau beritahu saya yang beliau berdepan beberapa masalah, seperti isu kewangan dan kerja.

“Beliau tidak pernah kata apa-apa tentang saya atau Dr Mahathir Mohamad,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri persidangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian forex Bank Negara Malaysia hari ini.

Anina, yang mengumumkan peletakan jawatannya semalam mendakwa Bersatu “tidak lagi mengamalkan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti” dalam pentadbirannya.

Muhiyiddin berkata walaupun Anina menganggotai majlis tertinggi parti, beliau tidak menghadiri mesyuarat atau program.

“Beliau ada masalah peribadi,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Anina disingkirkan daripada jawatannya sebagai ketua sayap wanita parti itu.

Beliau dilaporkan berkata langkah itu diambil terhadapnya susulan dakwaan mengatakan beliau terbabit dalam “skandal mesej seks”, di mana beliau menafikannya.

Anina dipecat daripada Umno pada September 2015 susulan ucapannya yang mengkritik presiden parti Najib Razak pada mesyuarat perwakilan Umno Langkawi pada tahun itu berhubung derma RM2.6 bilion yang diterima Najib daripada kerabat diraja Arab. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen