Pesara tentera ditahan rancang serangan keganasan di LA


Mark Steven Domingo, 26, ditahan kerana didakwa merancang meletupkan bom pada himpunan ketuanan kulit putih di Long Beach, Los Angeles minggu lalu. – Gambar AFP, 30 April, 2019.

SEORANG veteran tentera Amerika Syarikat (AS) yang didakwa merancang serangan keganasan berskala besar di Los Angeles sebagai balas dendam terhadap insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, ditahan, kata pihak berkuasa.

Mark Steven Domingo, 26, yang pernah ditugaskan di Afghanistan dan mengakui sebagai Islam, berdepan pertuduhan berkaitan keganasan kerana merancang untuk meletupkan bahan letupan buatan sendiri pada himpunan kulit putih di Long Beach, hujung minggu lalu, dengan sasaran menyebabkan kematian beramai-ramai.

Domingo ditahan pada Jumaat selepas menerima apa yang disangkanya bom jangka yang dihantar oleh ejen menyamar.

Menurut dokumen mahkamah, Domingo melahirkan sokongan menerusi posting di media sosial dan perbualannya dengan sumber FBI, berhubung jihad keganasan dan mahu mati syahid dengan melakukan tindakan balas atas serangan terhadap umat Islam.

Selepas mempertimbangkan pelbagai pilihan – termasuk menyasarkan Yahudi, gereja dan pegawai polis – Domingo memutuskan untuk meletupkan bom di himpunan Long Beach, di mana ia akhirnya tidak berlaku.

Domingo, berkhidmat di Afghanistan antara September 2012 dan Januari 2013, dalam satu mesej dihantar ke kumpulan persendirian pada awal Mac merujuk kepada tembakan rambang di Las Vegas pada 2017 yang menyebabkan 58 maut.

Domingo didakwa menyediakan dan mencuba untuk menyediakan bahan sokongan kepada pengganas.

Dia berdepan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan.

Dia dijangka dibawa ke mahkamah petang ini. – AFP, 30 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen