JAGUH trek perlumbaan Formula Satu, tiga kali juara dunia Ayrton Senna adalah kebanggaan Brazil.
Selepas 25 tahun kematiannya yang tragis di Grand Prix San Marino, beliau tetap menjadi salah satu legenda sukan terhebat di negara ini.
Ulang tahun kematian Senna esok - yang dikenali sebagai “Hari Senna” - akan menghidupkan semula perasaan kehilangan dan kebingungan susulan kemalangan mengejutkan di litar Imola, Itali pada 1 Mei 1994, yang meragut nyawa pelumba berusia 34 tahun ketika itu.
Ia juga akan menjadi kenangan pahit bahawa sejak gelaran terakhir Senna pada 1991, tiada lagi rakyat Brazil yang muncul sebagai juara dunia.
“Terdapat beberapa kejayaan selepas Ayrton Senna ... tetapi kekurangan struktur dalaman dalam sukan permotoran Brazil tidak membolehkan ia berkembang,” kata Alexander Grunwald, wartawan sukan permotoran Brazil.
Kematian Senna mencetuskan kesedihan di seluruh dunia.
Kehilangannya dirasai ketara di Brazil dengan kelibat Senna, dikenali dengan topi keledar kuningnya, membaca bendera bercorak petak, membangkitksn kegembiraan bagi orang biasa yang bergelut mencari rezeki.
“Pada 1980-an, kita hidup dengan hiperinflasi, akhir pemerintahan diktator tentera - tidak masuk akal untuk berbangga dengan Brazil,” kata Grunwald.
“Tetapi Senna membawa bendera Brazil di seluruh dunia seperti simbol yang membuatkan ramai orang Brazil bangga.”
Legasi Senna “mengubah” perlumbaan F1, kata Grunwald.
Selain kemahiran memandu yang luar biasa, perhatiannya terhadap unsur lain dalam sukan ini, seperti persediaan fizikal dan mental, serta memahami kenderaan dan teknologinya, membezakan beliau daripada pemandu lain.
Begitulah popularitinya di kalangan rakyat Brazil sehinggakan 25 tahun selepas kematiannya imej Senna terus digunakan dalam pengiklanan dan kempen sosial.
Satu tinjauan pada 2014 menunjukkan 47% penduduk di bandar kediaman Senna di Sao Paulo meletakkan nama beliau sebagai nama sukan terbesar di negara ini. Bola sepak hebat Pele di tempat kedua.
Pele, pemenang Piala Dunia tiga kali, beraksi “ketika orang mendengar bola sepak di radio atau membacanya di akhbar - ia bukan intensiti atau emosi yang sama”, kata Grunwald.
“Dengan Senna, ia adalah hari Ahad bersama keluarga” di depan televisyen.
Acara kebudayaan dan sukan dirancang sempena “Hari Senna” di trek Interlagos di Sao Paulo.
Karismatik dan kontroversi, Senna dinobatkan sebagai juara dunia F1 pada 1988, 1990 dan 1991 ketika ia memandu untuk McLaren.
Beliau bersama pasukan Williams ketika terbunuh. – AFP, 30 April, 2019.
Komen