PRESIDEN Indonesia Joko Widodo akan meneruskan pelan memindahkan pusat pentadbiran republik itu ke luar Jakarta dan membuka ibu kota baru di luar Pulau Jawa, lapor media.
Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Bambang Brodjonegoro yang membuat pengumuman itu selepas mesyuarat Kabinet semalam bagaimanapun berkata ibu kota baru yang akan menggantikan Jakarta bagaimanapun belum diputuskan.
Keputusan memindahkan ibu kota Indonesia ke luar Pulau Jawa dibuat berdasarkan tiga pilihan yang dipertimbangkan oleh kerajaan, tambahnya.
“Presiden memilih alternatif ketiga, iaitu memindahkan ibu kota ke luar Jawa. Ini barangkali salah satu keputusan penting yang dilahirkan hari ini dan tentunya akan dilanjutkan dengan mesyuarat terbatas berikutnya,” katanya, seperti dipetik portal berita CNN Indonesia.
Cadangan pemindahan pusat pentadbiran itu dibuat untuk meningkatkan kecekapan kerajaan susulan kesesakan lalu lintas yang teruk di Jakarta selain ancaman bandar raya itu mendap dan terdedah kepada bencana banjir.
Dua lagi pilihan ialah pertama, ibu kota kekal di Jakarta tetapi daerah pentadbiran dipusatkan di sekitar Istana Presiden dan Monumen Nasional (Monas) bagi meningkatkan kecekapan. Pilihan kedua pula membuka ibu kota baru misalnya di Bogor, Depok, Tangerang, atau Bekasi, dalam lingkungan tidak lebih 70 km dari Jakarta.
Bagaimanapun, menurut Bambang, dua pilihan itu tidak menyelesaikan isu kepadatan penduduk Jawa yang melimpah, yang kini jadi tumpulan 57% daripada kira-kira 260 juta penduduk Indonesia, lapor The Jakarta Post.
Cadangan itu juga dikhuatiri akan ditolak rakyat yang mahu melihat pembangunan Indonesia tidak bertumpu di Jawa sebaliknya melibatkan seluruh wilayah, tambahnya.
Ketika kempen pemilihan presiden, Jokowi berjanji untuk mengagihkan pertumbuhan ekonomi lebih sama rata ke semua wilayah. Keputusan rasmi hanya akan diketahui hujung Mei namun pengiraan awal menunjukkan Jokowi kekal untuk penggal kedua. – 30 April, 2019.
Komen