LEBIH 10,000 orang dipindahkan dari kediaman mereka di timur Kanada sejak beberapa hari lalu yang memecahkan rekod banjir pada 2017, kata pihak berkuasa pada Isnin dan memberi amaran ia mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk surut.
Sementara itu, operasi sedang dijalankan untuk menyelamatkan haiwan peliharaan dari rumah di kawasan yang terpaksa ditinggalkan semasa pemindahan.
Paling teruk terjejas adalah bandar Sainte-Marthe-sur-le-Lac, di barat Montreal, di mana lebih 6,000 orang terpaksa menyelamatkan diri memandangkan paras air semakin meningkat pada hujung minggu.
Banjir di bandar “kini semakin stabil,” kata Menteri Keselamatan Awam Quebec, Genevieve Guilbault pada sidang akhbar.
“Paras air menurun dan kami berharap dapat melindungi kawasan itu,” katanya sambil menyatakan pembinaan halangan kerikil baru sedang dijalankan untuk mengawal aliran air.
Kira-kira 9,000 orang berpindah di wilayah Quebec, atau dua kali jumlahnya berbanding 2017, yang menyaksikan banjir terburuk di rantau ini dalam setengah abad.
Di New Brunswick, lebih 1,000 orang dipaksa pindah dari rumah mereka. Sejumlah kecil juga dipindahkan ke ibu kota Ottawa.
Beberapa ribu tentera dikerahkan di seluruh Ontario, Quebec dan New Brunswick untuk membantu proses pemindahan dan mengisi beg pasir.
Guilbault berkata beliau menjangkakan hujan akan berhenti tetapi menambah air mungkin mengambil masa yang lama untuk surut. – AFP, 30 April, 2019.
Komen