JUMLAH korban akibat banjir dan tanah runtuh di wilayah Bengkulu barat Indonesia dan di Jakarta meningkat kepada 31 orang manakala 13 lagi masih hilang, lapor agensi berita Xinhua pada Isnin.
Bencana itu melanda wilayah Bengkulu sejak Jumaat dan orang ramai dinasihati supaya sentiasa berjaga-jaga walaupun air banjir dilaporkan semakin surut di beberapa kawasan termasuk di Jakarta, menurut pejabat agensi bencana.
Sebanyak 184 rumah, tujuh fasiliti pendidikan dan 40 infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan dan saluran air di wilayah itu musnah sementara lebih 12,000 penduduk berlindung di penempatan sementara, kata pegawai agensi pengurusan bencana wilayah, Abdul Rohman.
Beliau berkata peralatan seperti khemah dan bot getah serta makanan segera, air bersih juga makanan bayi amat diperlukan.
Bencana itu menyebabkan kerosakan infrastruktur pengangkutan dan bekalan elektrik tergendala yang menyukarkan kerja-kerja menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas, jurucakap agensi pengurusan bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho.
“Bantuan sukar untuk dihantar kerana kebanyakan kawasan terjejas terputus hubungan selepas jalan utama ditenggelami air,” kata Sutopo.
Sementara itu ketua unit mencari dan menyelamat nasional Yusuf Latief berkata operasi mencari masih diteruskan di lokasi terjejas terutamanya di kawasan yang terdapat laporan orang hilang. – Bernama, 29 April, 2019.
Komen