AKAUN bank Gandingan Mentari, anak syarikat SRC International, dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” oleh AmBank kerana aliran tunai yang tinggi, kata pengruus bank kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pengurus AmBank R. Uma Devi berkata akaun berkenaan dipantau oleh jabatan pematuhan bank.
“Jabatan itu menjalankan pemeriksaan bulanan ke atas akaun berkenaan selepas disenarai sebagai berisiko tinggi,” kata Uma ketika diperiksa balas oleh peguam bela Najib Razak, Harvinderjit Singh.
Uma berkata, kategori berisiko tinggi diberi kerana ia merupakan salah satu akaun syarikat berkenaan yang mempunyai “aliran tunai yang tinggi”.
Akaun berisiko tinggi yang dirujuk oelh bank sebagai tidak dapat dijangka dari segi kewangan atau mempunyai tahap potensi untuk mengalami kerugian.
Uma pada minggu lalu memberi keterangan bahawa sebanyak RM50 juta disalurkan menerusi Gandingan Mentari daripada SRC International, yang mana RM30 juta disalurkan ke salah satu akaun AmBank Najib.
Sejumlah RM4 bilion disalurkan ke dalam SRC international antara 2011 dan 2012 yang mana, RM42 juta akhirnya disalurkan ke akaun bank Najib Razak.
Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanan, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung dana terbabit.
Minggu lalu, Uma memberi keterangan bahawa Najib juga memberi kuasa kepada pengarah dan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yasin untuk mengendalikan akaunnya.
Terdahulu hari ini, Harvinderjit bertanya mengapa cek dari Suboh, yang dikeluarkan dari akaun SRC International mempunyai tandatangan yang berbeza daripada borang untuk membuka akaun kedua syarikat.
“Ia hanya perbezaan kecil,” kata Uma.
Uma berkata, beliau sedia maklum bahawa Joanna Yu, Krystal Yap dan Daniel Lee merupakan pengurus perhubungan untuk akaun SRC International dan 1MDB.
Katanya, hanya mereka yang boleh keluarkan wang daripada akaun itu dan pemegang saham kedua-dua syarikat tidak boleh keluarkan wang dari akaun tersebut.
Beliau berkata seorang pengurus perhubungan tidak boleh memaksa pusat pemprosesan cek bank untuk meluluskan cek dengan tandatangan yang tidak dibenarkan.
Najib yang duduk kelihatan tenang.
Beliau diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Shafee Abdullah.
Peguam negara Tommy Thomas hadir pada sesi pagi perbicaraan.
Perbicaraan dipengerusikan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 29 April, 2019
Komen