Pakistan nafi laporan AS kenakan sekatan visa


Amerika Syarikat dilaporkan menolak untuk menerima semula rakyat Pakistan yang diusir kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan. – Gambar EPA, 29 April, 2019.

PAKISTAN menafikan laporan kononnya Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas negara itu, lapor agensi berita Anadolu memetik seorang pegawai Kementerian Luar pada Ahad.

“Kami membaca laporan media yang mengatakan Pejabat Pendaftar Persekutuan AS ‘memperkenalkan peraturan baharu’. Ia tidak benar,” kata jurucakap kementerian, Mohammad Faisal dalam satu kenyataan.

Beberapa media tempatan dan asing pada Ahad melaporkan AS mengenakan sekatan ke atas Pakistan selepas Islamabad menolak untuk menerima semula rakyatnya yang diusir kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Perbincangan berkaitan isu-isu konsular termasuk repatriasi masih berterusan antara Pakistan dan AS. Kedua-dua negara bekerja bersama mengenai isu ini selaras dengan undang-undang negara masing-masing. Setakat ini hasil perbincangan menunjukkan perkembangan yang baik,” kata Faisal.

Pakistan yakin kerajaan AS akan meneruskan operasi konsular seperti biasa di kedutaannya di Islamabad dan perbincangan yang masih berlangsung tidak mempengaruhi permohonan visa oleh rakyat negara itu, tambahnya. – Bernama, 29 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen