PRESIDEN Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Presiden 2019, selesa mendahului lawannya Prabowo Subianto dengan kelebihan 9.6 juta undi, selepas proses pengiraan undi kini mencapai 50.5%.
Pemerhati politik melihat kelebihan peratusan undi yang diterima Jokowi setakat ini memudahkan beliau mempertahankan jawatan presiden Indonesia untuk penggal 2019-2024.
Mengikut real count atau pengiraan undi menerusi laman web rasmi Komisi Pemilihan Umum (KPU), Jokowi dan pasangannya Ma’aruf Amin, 76, untuk jawatan naib presiden, memperoleh 56.24% (43,436,826 undi) berbanding Prabowo, 67, dan pasangannya, Sandiaga Uno, 49 yang memperoleh 43.76% (33,794,744 undi).
Peratusan itu berdasarkan pengiraan undi melibatkan 411,409 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.
Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5% daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2019). Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei. – Bernama, 29 April, 2019.
Komen