SETIAUSAHA Luar Britain Jeremy Hunt menggesa kerajaan supaya berwaspada dengan peranan Huawei milik China di UK.
Kerajaan Britain katanya perlu berfikir dengan teliti sebelum membuka pintu kepada gergasi teknologi itu membangunkan rangkaian mudah alih generasi kelima (5G).
Beliau berkata demikian susulan Perdana Menteri Theresa May membenarkan Huawei membina rangkaian 5G UK, lapor akhbar tempatan.
Huawei ditolak di beberapa pasaran Barat berikutan kebimbangan bahawa Beijing mungkin akan mengintip komunikasi dan mendapat maklumat rahsia.
Gergasi teknologi itu merupakan pengeluar utama peralatan bagi rangkaian mudah alih 5G dengan kebanyakan pemindahan segera maklumat yang akan menjadi nadi sistem ekonomi Eropah dalam sektor strategik seperti tenaga, pengangkutan, perbankan dan penjagaan kesihatan.
Amerika Syarikat menentang penglibatan Huawei kerana di bawah undang-undang China firma itu bertanggungjawab membantu kerajaannya mengumpul maklumat atau menyediakan perkhidmatan keselamatan lain apabila diperlukan. – AFP, 29 April, 2019.
Komen