GABENOR Sumatera Utara mengancam untuk letak jawatan, empat bulan menjelang genap setahun beliau dipilih rakyat, jika rakyat wilayah itu tidak lagi mahu beliau memimpin mereka, lapor media di Indonesia.
Edy Rahmayadi dipetik berkata pemimpin hanya bermakna sekiranya rakyat masih mahu menerima mereka.
Edy berkata sinergi antara pemimpin dan yang dipimpin penting untuk membangunkan cita-cita bersama termasuk dalam soal membangunkan wilayah itu.
“Kalau masih main-main, Sumut (Sumatera Utara) tak pernah akan bermartabat. Berapa tahunkah saya jadi gabenor? Lima tahun selesai. Saya sekarang sudah lapan bulan.
“Saya lihat empat bulan ke depan jika rakyat Sumut ini tak mau saya pimpin, saya yang mundur. Tolong media tulis itu besar-besar,” katanya dipetik The Jakarta Post.
“Kalau sekarang saya pemimpin tetapi yang dipimpin tak mau, untuk apa saya jadi pemimpin?” tambahnya.
Edy, bekas jeneral tentera terpilih jadi gabenor selepas menang pilihan raya tempatan pada Jun 2018.
Selepas menang pilihan raya, beliau pada mulanya enggan letak jawatan ketua Persatuan Bola Sepak Indonesia dan hanya berbuat demikian selepas didesak.
Edy membuat kenyataan itu ketika Sumatera Utara dinilai wilayah paling mundur dalam senarai 34 wilayah di Indonesia, lapor The Jakarta Post.
Katanya, beliau malu dengan keadaan itu dan menyalahkan pemimpin daerah yang gagal berfungsi.
Edy dipetik mendedahkan bagaimana tidak semua pemimpin daerah di wilayah memberikan kerjasama, termasuk tidak hadir dalam mesyuarat penting yang dipengerusikannya.
“Mereka hanya hantar wakil yang tidak boleh buat keputusan,” katanya. – 29 April, 2019.
Komen