PENYANDANG Perdana Menteri Sepanyol dari Parti Sosialis Pedro Sanchez telah memenangi pilihan raya negara itu pada Ahad tanpa meraih keputusan majoriti bagi membantu kerajaan, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Dengan 99 peratus pengiraan undi, keputusan tidak rasmi menunjukkan Parti Pekerja Sosialis (PSOE) memenangi sejumlah 123 daripada 350 kerusi parlimen manakala bekas rakan kongsi gabungannya, Unidas Podemos, memenangi 42 kerusi.
Oleh itu, Sanchez perlu mendapatkan sokongan parti lain untuk membentuk kerajaan kerana jumlah kerusi yang dimenangi PSOE dan Podemos masih kurang 11 bagi mendapatkan jumlah 176 yang diperlukan sebagai majoriti.
Dalam ucapan kemenangannya, Sanchez berkata: “Kita telah menghantar satu mesej yang jelas kepada Eropah dan dunia – bahawa anda boleh menewaskan autoritarianisme dan involusi.”
Parti Vox memenangi 24 kerusi dan menerima lebih 10 peratus undi. Ini adalah kali pertama sebuah parti pelampau kanan memasuki parlimen sejak pemerintahan tentera berakhir pada pertengahan 1970-an.
Parti tradisional Sepanyol yang berhaluan kanan, Parti Popular, telah meraih keputusan paling rendah dalam sejarah, dengan perwakilan di parlimen merosot kepada 66.
Sanchez mungkin memulakan rundingan dengan Podemos dan parti-parti serantau dari Basque Country, Valencia, Kepulauan Canary, Catalonia, Navarra dan Cantabria, untuk mendapatkan sokongan mereka bagi membentuk kerajaan.
Sebagai alternatif, Sanchez boleh berunding dengan parti pemisah dari Catalonia, yang memenangi lebih 20 kerusi namun rundingan mungkin lebih sukar untuk Sanchez dan tidak popular dalam kalangan anggota partinya.
Pemimpin Sosialis itu juga boleh membentuk sebuah gabungan lebih mudah dengan parti pertengahan kanan Ciudadanos, yang meraih kemenangan luar biasa pada Ahad dengan memenangi 57 kerusi.
Bagaimanapun, pemimpin Ciudadanos Albert Rivera telah berulang kali menyatakan dalam kempen pilihan raya beliau bahawa parti itu tidak akan bersekutu dengan Sosialis susulan pendirian lebih lembut mereka terhadap gerakan pemisah Catalan.
Selain itu, semasa ucapan kemenangan Sanchez, para penyokongnya telah melaungkan ungkapan “bukan dengan Rivera.”
Jika rundingan Sanchez tidak berjaya, perpecahan politik boleh mengheret rakyat Sepanyol kembali mengadakan pilihan raya umum buat kali yang keempat sejak 2015.
Jumlah yang keluar mengundi mencecah hampir 76 peratus, menurut Kementerian Dalam Negeri Sepanyo, iaitu sembilan peratus lebih tinggi berbanding 2016. – Bernama, 29 April, 2019.
Komen