PERDANA Menteri Iraq Adel Abdul Mahdi pada Ahad menggesa semua isu tertangguh antara negara itu dan Turki diselesaikan, sambil menekankan keperluan meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang keselamatan serta sumber minyak dan air, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.
Kenyataan pejabatnya menyebut Mahdi mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu yang berkunjung ke Iraq, dalam apa yang beliau sifatkan sebagai permulaan fasa baharu kerjasama yang bakal memenuhi kepentingan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, Mahdi turut “menggesa agar kehadiran tentera Turki di Bashiqa tanpa kebenaran kerajaan Iraq dihentikan”.
Perdana menteri Iraq itu juga meminta ahli perniagaan dan syarikat Turki mewujudkan kilang serta kerjasama ekonomi di Iraq dalam bidang industri, perdagangan, pembinaan semula dan pertanian.
Bagi pihaknya, Cavusoglu menyerahkan sepucuk surat daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang turut menyertakan undangan kepada Abdul Mahdi untuk melawat Turki, menurut kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Menteri luar Turki juga menggesa kerjasama dalam mendepani pertubuhan pengganas dan mendedahkan kesediaan negaranya untuk menyediakan bekalan elektrik kepada Iraq.
“Kami gembira Iraq memperbaiki hubungannya dengan semua negara jiran dan kami berharap untuk menyelesaikan semua isu tertangguh antara Turki dan Iraq dalam suasana mesra dan secara langsung,” kata Cavusoglu.
Terdahulu pada hari yang sama, Cavusoglu tiba di Baghdad kerana mengetuai satu delegasi untuk bertemu para pegawai tinggi Iraq dan dijadualkan melawat bandar Basra dan Erbil, ibu kota wilayah separa autonomi Kurdistan.
Sejak 2015, beratus-ratus tentera Turki ditempatkan di kem Bashiqa, kira-kira 30km di timur laut bandar Mosul yang terletak di utara Iraq.
Kehadiran tentera Turki menyebabkan perselisihan antara Iraq dan Turki apabila Baghdad berulang kali menyatakan bahawa mereka telah mencabul kedaulatan Iraq dengan memasuki negara itu tanpa izin.
Bagaimanapun, Ankara berkata tentera Turkish dihantar ke Bashiqa bagi melatih pejuang Peshmerga Kurdish dan sukarelawan puak tempatan bagi menentang militan IS di Mosul, yang sebelum ini dibebaskan daripada cengkaman militan ektremis itu pada Julai 2017 oleh tentera Iraq. – Bernama, 29 April, 2019.
Komen