SEKUMPULAN lelaki bersenjata di selatan Nigeria, daerah yang kaya minyak menyerang sebuah pelantar minyak, menculik warga Britain, Kanada dan pekerja Nigeria, kata pihak berkuasa.
Ia insiden terbaru dalam siri serangan di Rivers, selatan Nigeria di mana sering berlaku penculikan untuk mendapatkan tebusan.
Enam lelaki bersenjata menyerang pelantar itu pada Sabtu di Ogbele, melepaskan tembakan ketika menyerbu masuk, menangkap tiga lelaki berkenaan dan melarikan diri ke hutan tebal dan kawasan paya.
“Mangsa ialah seorang warga Kanada, Britain dan kami juga dimaklumkan seorang pekerja Nigeria,” kata jurucakap pasukan keselamatan negara, Abdullahi Ibrahim.
Pelantar minyak itu dilaporkan dikendalikan oleh Niger Delta Petroleum Resources (NDPR).
Dalam serangan hampir sama sebelum ini, semua mangsa dibebaskan selepas beberapa hari sebaik saja tebusan dibayar.
Pada Khamis, kumpulan bersenjata menculik dua pekerja Shell dan membunuh dua anggota polis yang mengawal mereka, juga di daerah Rivers. Setakat ini tiada khabar berita tentang tebusan berkenaan. – AFP, 29 April, 2019.
Komen