PRESIDEN Sri Lanka Maithripala Sirisena mengumumkan pengharaman menutup muka atau berpurdah, seminggu selepas militan Islam melakukan serangan bom bunuh diri yang menyebabkan 253 terbunuh.
Sirisena berkata beliau menggunakan kuasa darurat untuk mengharamkan sebarang bentuk menutup muka di tempat awam.
Sekatan itu berkuat kuasa hari ini, kata pejabatnya menerusi satu kenyataan.
“Pengharaman itu bagi memastikan keselamatan negara. Tiada sesiapa patut menutup wajah mereka untuk menyukarkan identifikasi,” kata kenyataan itu.
Ia berlaku beberapa hari selepas ulama menggesa wanita Muslim tidak menutup wajah mereka ketika ramai yang bimbang dengan serangan bom dilakukan pengganas yang dikaitkan dengan kumpulan Islamic State.
Umat Islam di negara majoriti Buddha itu membentuk 10% daripada 21 juta populasi.
Kebanyakan umat Islam Sri Lanka mengamalkan bentuk agama lebih liberal dengan hanya sejumlah kecil wanita memakai purdah. – AFP, 29 April, 2019.
Komen