Putrajaya patut bangunkan sukan permotoran tempatan, lupakan saja F1


Ragananthini Vethasalam

Peminat sukan permotoran tempatan berkata Putrajaya sepatutnya melupakan saja hasrat mengembalikan Formula 1 ke Sepang, sebaliknya guna peruntukan itu bagi membangunkan sukan tempatan. – Gambar fail AFP, 29 April, 2019.

KERAJAAN sepatutnya memberi keutamaan pembiayaan kepada pembangunan industri sukan permotoran tempatan berbanding membelanjakan berjuta ringgit untuk mengembalikan Formula Satu Grand Prix (F1), kata peminat sukan perlumbaan itu.

Mereka berkata perlumbaan F1 jatuh kerana ia tidak dapat menjual tiket.

Mereka mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang berkata F1 mungkin akan kembali tahun depan atau tahun berikutnya.

Dr Mahathir berkata minat terhadap sukan itu masih hidup dan ramai rakyat Malaysia “ketagih” pada sukan permotoran.

Setiausaha Agung Kumpulan Jawatankuasa Bertindak Sukar Permotoran Khaidi Kamaruddin berkata perlumbaan F1 yang terakhir diadakan pada 2017 sebelum Malaysia menghentikan sukan itu, tidak dapat menjual tiket walaupun 20% kapasiti tempat duduk.

Katanya, kebanyakan penonton ialah kanak-kanak yang dibawa dengan bas untuk memenuhkan litar di Sepang.

“Semua duit penaja untuk F1 akan hanya membunuh bakat dan usaha tempatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wang RM200 juta yang dikeluarkan oleh kerajaan setiap tahun bagi menaja program itu boleh digunakan untuk membangunkan dan meletakkan perlumbaan tempatan di peta dunia, katanya.

“Tun (Dr Mahathir) tidak tahu rakyat dan trend global. Kemerosotan minat setiap tahun begitu jelas.

“Malah Singapura pun mula melihat jumlah penonton dan keuntungan F1 semakin turun,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata F1 mungkin akan kembali tahun depan atau tahun berikutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2019.

Sementara itu, Pengarah dan Prinsipal Siri Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) Adian Yein berkata hujahan mengatakan menganjurkan F1 untuk pembangunan sukan permotoran dan industri automotif tidak wajar.

“Thailand yang tidak pernah menganjurkan F1, mempunyai program sukan permotoran terbesar dan paling meriah di Asia Tenggara. Industri automotifnya juga antara terbesar di rantau ini.

“Thailand ada lebih banyak perlumbaan, mereka terima lebih banyak peserta dan pasukan, dan paling penting sokongan pada industri lebih besar dan menyediakan peluang pekerjaan, syarikat kejuruteraan dan bekalan produk untuk ramai orang dan syarikat, membawa kepada membekalkan produk permotoran bertaraf dunia di seluruh dunia.”

Yein berkata jika niatnya untuk membangunkan industri permotoran, wang itu sepatutnya digunakan bagi infrastruktur dan menyokong program pembangunan seperti litar peringkat kelab di negeri-negeri.

Katanya, ini bukan saja mempromosikan sukan permotoran yang sempurna dan selamat, tetapi memberi faedah kepada lebih ramai peminat sukan itu, apatah lagi F1 dilihat sebagai sukan untuk orang kaya.

F1 sering dianggap sebagai “acara sukan paling mahal di dunia”.

“Menganjurkan perlumbaan F1 tidak akan membina semua itu. Industri permotoran yang aktif dan bagus di peringkat nasional yang melakukannya. Dan bagi mencapai semua itu, antara lain ialah lebih daripada satu litar perlumbaan diperlukan.

“Perdana menteri betul bila berkata Malaysia ada ramai peminat sukan permotoran tetapi mereka bukan hanya mahu menonton F1.

“Mereka hendak turut serta dalam sukan itu, menonton dan menyokong rakan dan keluarga mereka dalam sukan permotoran itu, atau membangunkan jentera mereka sendiri dalam sukan permotoran,” katanya. – 29 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen