KUMPULAN jihadis dari Nigeria, Boko Haram membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan empat lagi cedera parah dalam serangan di Kofia, sebuah pulau Cameroon di Lake Chad, kata sumber rasmi kepada AFP pada hari Ahad.
Penyerang juga memusnahkan sebahagian pangkalan tentera dan merosakkan beberapa kedai dalam serangan pada Sabtu, kata sumber di samping menambah tiga orang awam dan seorang askar terbunuh.
Pulau Kofia terletak di utara Cameroon berhampiran sempadan Chad.
“Pasukan Cameroon dan Chad” sedang menjejak penyerang yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, kata sumber itu.
Kumpulan jihadis telah meningkatkan serangan di Cameroon dan negara-negara jiran. Awal bulan ini, mereka menjadi suspek serangan yang membunuh 11 orang awam di wilayah Tcharkamari.
Serangan itu adalah yang paling dahsyat dilakukan Boko Haram dalam beberapa bulan kebelakangan ini, yang menyaksikan peningkatan aktiviti keganasan selepas tempoh tenang tahun lalu.
Bulan ini, serangan jihadis dan letupan lombong yang menyasarkan konvoi tentera membunuh sekurang-kurangnya tujuh anggota tentera Cameroon.
Di seberang sempadan, Chad, Boko Haram dipertanggungjawabkan di atas kematian sekurang-kurangnya 30 anggota tentera sejak awal bulan Mac di sekitar Lake Chad.
Konflik berhubung Boko Haram bermula pada tahun 2009 di Nigeria dan telah membunuh lebih daripada 27,000 orang di samping mengakibatkan 1.8 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di timur laut negara itu.
Keganasan Boko Haram kemudian menular ke Niger, Chad dan Cameroon. – AFP, 28 April, 2019.
Komen