Polis lihat rakaman CCTV, soal penduduk di pangsapuri Chong


Muzliza Mustafa

Anggota polis berpakaian biasa kelihatan di blok pansapuri bekas ahli Majlis Petaling Jaya Peter Chong Fook Meng, yang hilang dua malam lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 10 April, 2017.

POLIS dilihat berada di blok pangsapuri bekas ahli Majlis Petaling Jaya Peter Chong Fook Meng yang hilang, di mana mereka menemuramah penduduk dan memeriksa rakaman litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal.

Chong, 54, dilaporkan hilang selepas keluar berjumpa rakan untuk minum pada Rabu. Beliau kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur, kira-kira jam 7 malam pada 5 April.

Anak Chong, Darryl, membuat laporan polis mengenai kehilangan beliau pada 8 April selepas semua percubaan untuk menghubunginya gagal.

Difahamkan pasukan polis tiba di pangsapuri beliau pada jam 1.30 petang di mana mereka terus menyoal pengawal dan penduduk.

Sementara sekumpulan menjalankan temubual, dua yang lain pergi ke pusat kawalan untuk melihat rakaman CCTV.

Detektif berpakaian biasa itu menghabiskan masa dua jam di sana sebelum meninggalkan premis berkenaan.

Mereka adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas yang diumumkan awal hari ini oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh.

Pasukan petugas, katanya bertujuan menyiasat kehilangan Chong dan juga untuk menentukan sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan penculikan Pastor Raymond Koh pada 13 Februari. Koh diculik di Jalan SS4B / 10 di Petaling Jaya oleh 15 lelaki menaiki tiga SUV.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Sukri Kaman mengesahkan pasukannya berada di blok pangsapuri Chong untuk melihat imej CCTV dan menyoal penduduk.

Beliau berkata pasukan itu juga bertemu Darryl semalam tetapi beliau khuatir sesuatu yang buruk berlaku semasa temubual berlangsung.

The Malaysian Insight juga cuba menghubungi melalui telefon Darryl tetapi tidak dijawab. Beliau, bagaimanapun, menghantar mesej teks meminta keluarganya diberikan privasi.

“Sila fahami ia adalah tempoh yang sangat sukar untuk kami dan berharap diberikan privasi,” kandungan mesej teks itu.

Sukri berkata polis ingin menemubual anak lelakinya memandangkan beliau yang membuat laporan polis itu, sambil menambah kes Chong masih diklasifikasikan sebagai laporan orang yang hilang itu. – 10 April, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen