SEKATAN Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport minyak Venezuela bermula hari ini sebagai usaha Washington untuk menggulingkan Presiden berhaluan kiri Nicolas Maduro.
Bermula 12.01 tengah malam waktu Washington, AS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berurusan dengan syarikat Petroleos de Venezuela (PDVSA) milik kerajaan Venezuela, atau mana-mana entiti syarikat itu yang memegang 50% saham.
Sekatan itu antara usaha pentadbiran Presiden Donald Trump bagi menggulingkan Maduro dan mengangkat pemimpin pembangkang Juan Guaido yang diiktiraf lebih 50 negara termasuk kebanyakannya di Amerika Latin.
Jumaat lalu, pentabdiran Trump berkata pihaknya akan menyekat aset Menteri Luar Jorge Arreaza, mengesahkan AS tidak berhasrat untuk berunding dengan Maduro.
Sebelum ini Venezuela mengeksport 500,000 tong minyak sehari ke AS yang merupakan pelanggan terbesar.
Susulan sekatan itu, perdagangan minyak antara AS dan Venezuela amat terhad dan turun secara mendadak, kata pakar undang-undang dari Venezuela yang beroperasi di Washington, Mariano de Alba.
Minyak merupakan sumber utama ekonomi Venezuela yang kini lumpuh dan mengeksport kira-kira 96% hasilnya.
Negara itu berdepan krisis ekonomi dan inflasi dijangka meningkat 10 juta peratus pada tahun ini.
Kira-kira 2.7 juta penduduk Venezuela menjadi pelarian sejak 2015 ekoran kekurangan barangan asas dan perubatan susulan konflik politik dan ekonomi yang melanda negara itu. – AFP, 28 April, 2019.
Komen