Tanggapan, realiti dan dilema industri buku


Zainal Rashid Ahmad

REALITINYA bermula dengan nilai jualan yang dianggarkan RM800 juta setahun. Ini data Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) bagi tahun dapatan 2017. Sekali tanggap bunyi angkanya nampak besar.

Namun, bagi industri perbukuan, nilai jualan itu tidak mendokong realiti positif. Jujurnya, tiada data jualan terperinci dikeluarkan secara telus mengenai industri buku di negara ini.

Justeru, relatif artikel ini merujuk pada logik tanggapan. Namun, berpegang pada harga dan kadar cetakan yang realistik secara purata.

Pada 2017, sebanyak 17,123 judul buku diterbitkan. Jumlah itu melepasi 50% sasaran Unesco. Sekiranya merujuk indeks standard 1% bagi per kapita 31 juta rakyat Malaysia, jumlah piawaian sebenar ialah 31 ribu judul.

Realiti julat pendapatan RM800 juta pula, kalau ditanggap secara ekonomi, jelas wujud kerugian sekitar 33% lambakan buku tidak terjual setiap tahun.

Kalau ditanggap secara mudah, 17 ribu judul dicetak pada kadar 3 ribu salinan per judul dan dijual dengan harga purata RM20 sebuah, nilai paling rendah keseluruhan daya beli ialah RM1.2 bilion. 

Justeru, wujud lebihan produk dan lambakan cetakan berbanding daya beli. Teori lambakan ini dibuat dengan merujuk merujuk data daya beli.

Berbalik pada data Mapoba, sekiranya daya beli hanya RM800 juta, dan nilai buku cetakan tahunan ialah RM1.2 bilion, ertinya daya beli mengalami kekurangan dana RM400 juta.

Maksud lainnya, setiap tahun, RM400 juta nilai buku terpaksa dilempar ke dalam setor.

Secara tanggapan, sekiranya data RM400 juta lambakan tidak terjual berlaku, bagi tempoh lima tahun, angka itu mencecah RM2 bilion.

Jadi, tidak hairanlah kalau stok lebihan buku dalam stor selama lima tahun terakhir ini, melebihi jumlah semua isi buku dalam perpustakaan di seluruh negara!

Merdekakan buku dan penulis jiwa hamba!

Tahun depan, 2020 ialah tahun keramat bagi industri perbukuan. Kuala Lumpur pada 1 April depan akan diisytiharkan Kota Buku Dunia Unesco.

Pasti warga buku sangat berbangga kerana ibu negara tersenarai sebagai Kota Buku Dunia ke-20 dan tahunnya pula 2020.

Namun, fokus artikel ini ialah merujuk pada realiti tanggapan mudah. Kalau sudah menjadi Kota Buku Dunia, dan kita berusaha mencapai 1% bagi purata judul mengikut standard Unesco, bermakna 32,000 judul buku perlu diterbitkan.

Sekali lagi, kalau jumlah itu didarab RM20 senaskhah, dengan 3000 cetakan per judul, total daya beli yang mesti diwujudkan ialah RM1.920 bilion.

Wow! Kalau inilah kiraan tanggapan, pastilah wujud kesedihan. Realitinya, daya beli hanya RM800 juta setahun. Mana nak cekau kelompongan keseluruhan daya beli dengan tambahan RM1.120 bilion lagi?

Buku perkara paling membosankan apabila diperbualkan. Tahap bosan yang menyamai budaya majoriti rakyat Malaysia yang juga bosan membeli buku.

Kalau lompong daya beli seteruk itu, perbukuan dalam konteks Malaysia, belum layak disebut industri. Kecuali setaraf industri batik cetak di beranda rumah yang kini turut berdepan dilema kepupusan.

Realitinya, buku bukan sepuluh pilihan utama daya beli di negara ini. Malah, bukan juga sepuluh topik utama untuk dibualkan. Industri buku kalau diperbualkan secara akademik dan ekonomi pun, forumnya tidak sampai sepuluh kali setahun.

Tanggapan retorik klan buku

Ada klan buku yang sangat percaya industri buku sangat berdaya maju. Malah, muncul dengan teori era digital, penulis mampu bergelar jutawan dengan hasil royalti buku.

Alasan klan ini mudah: ada puluhan judul dan puluhan penulis telah berjaya mencapai jualan “pecah rak buku”.

Klan buku ini juga percaya – indeks buku boleh diukur dengan kejayaan sepuluh judul buku dan sepuluh nama penulis yang berjaya. Industri buku, dalam tafsiran klan ini, akan menuju masa depan gemilang dengan mazhab “pemasaran populis platform digital dengan realiti populis yang sangat berdaya maju.”

Kepada klan ini, angka sasaran 32,000 judul serta tiga ribu cetakan per judul serta nilai lompong RM1.120 bilion bukan analisis yang perlu ditanggap secara realiti dan realistik.

Malah, menolak untuk melihat keseluruhan gambaran realiti sebenar permasalahan industri buku. Ekonomi industri perbukuan dianggap tidak signifikan untuk disemak dan diterjemahkan secara eko sistem yang kompleks.

Bagi klan ini, asalkan ada bukti sepuluh penulis dan sepuluh judul buku yang berjaya, itu dalil sahih bahawa industri buku negara memang hebat.

Kisah realiti empat penulis

Penulis pertama memaklumkan, telah menulis 350 judul buku dan 100% ialah buku latihan peperiksaan. Itu fokus kerjayanya sejak 20 tahun lalu. Purata pendapatan RM150 ribu setahun. 

Total pendapatan tentulah RM3 juta bagi tempoh dua dekad yang dihitung dengan purata 17 buku setahun.

Alhamdulillah. Secara tanggapan, penulis ini telah menjadi jutawan walaupun semua pendapatannya dihitung bagi tempoh dua dekad menulis.

Tanggapan kejayaan ini satu realiti mudah berdasarkan pencapaian menerbitkan purata 17 buku setahun. Serta pendapatan royalti purata RM150 ribu setahun. setahun.

Penulis ini tidak lagi menumpukan pada penulisan buku sastera atau ilmiah. Tumpuannya hanya mengkaji dan sentiasa mengubah suai kandungan buku latihan Bahasa Malaysia. Sasaran jualan ialah kepada calon peperiksaan PMR dan SPM.

Penulis kedua pula, membelanjakan RM20 ribu untuk menerbitkan sendiri tiga judul buku sasteranya. Jumlah cetakan pula hanya 600 naskhah per judul.

Namun, pulangan jualan hanya sekitar RM3 ribu. Selebihnya, buku yang tidak terjual akan disedekah kepada rakan-rakan atau peminat. Atau akhirnya, dibiarkan saja mereput dalam bilik setor di bawah tangga.

Penulis ketiga, memberikan empat judul buku kepada empat penerbit berbeza. Semuanya diterbitkan dan dicetak 1000 naskhah. Sedihnya, total royalti per buku hanya sekitar RM800.

Namun, tindakan itu dianggapnya pilihan terbaik berbanding menanggung kerugian sekiranya buku dicetak dengan kos sendiri. Malah, niatnya menulis pun bukan kerana royalti. Seperti ribuan malaikat sastera yang lain, dia menulis demi kelangsungan sastera Melayu.

Malah, langkahnya dianggap lebih bijak berbanding menanggung rugi lebih teruk sekiranya menerbitkan dengan kos sendiri.

Penulis keempat, lain pula kisahnya. Karyanya dijadikan buku teks SPM (2016-2020). Satu kebanggaan kerana cerpennya dijadikan bahan pembelajaran Komsas.

Cuma realitinya, royalti yang dibayar penerbit hanya RM457 sahaja. Apabila ditanya, jawapan penerbit jelas dan mudah. Walaupun buku teks Komsas dicetak lebih 150 ribu naskhah, itulah saja royalti yang mampu dibayar.

Realitinya, buku dan penulis di Malaysia sama malangnya seperti pelarian Rohingya. Nasibnya dikasihani hingga perhimpunan pembelaan dianjurkan berjaya mengumpulkan ratusan ribu demonstran. Namun, walaupun pelarian Rohingya diberikan kad UNHCR, mereka dilarang bekerja di negara ini.

Justeru, sorakan dan laungan solidariti kepada pelarian Rohingya, berakhir dengan hanya melihat nasib 60 ribu pelarian Islam mangsa kekejaman Junta Myanmar hanya sekadar menjadi pengutip tin atau peminta sedekah di jalanan.

Buku dan penulis di negara ini juga senasib warga hamba kulit hitam ketika era apartheid di Amerika Syarikat. Lebih 200 tahun terpaksa menjadi buruh paksa sebelum menikmati kebebasan total dan mendapat hak mengundi pada 1966.

Justeru, harapan kita, sempena tarikh bersejarah pada 1 April 2020 ketika KL sudah rasmi bergelar Kota Buku Dunia Unesco ke 20, merdekakan segera buku dan penulis.

Buku tidak punya nyawa. Penulis pula tidak punya nyali. Namun, kedua-duanya punya jiwa. Itu pun “jiwa hamba” sahaja.

Apa pun, berdasarkan sejarah panjang industri perbukuan di negara ini, penulis telah membuktikan, malah terus membuktikan, mereka sentiasa tabah. Tanggungjawab menulis terus dilaksanakan demi sastera dan bahasa milik bangsa dan negara.

Walaupun penulis nasibnya seperti pelarian Rohingya atau mangsa apartheid, buku demi buku tetap dihasilkan. Karya besar wujud tiap dekad walaupun purata buku berkualiti sangat terhad dihasilkan secara tahunan.

Penulis masih menulis dengan penuh tegar walaupun hakikatnya ia tugas yang tidak menghasilkan pendapatan. Penulis tetap tabah seperti pelarian Rohingya. Malah, tetap tegar sama seperti kaum kulit hitam bangkit menentang aparteid.

Selamat datang KL Kota Buku Dunia Unesco 2020. Sama ada gah atau tidak, atau nilainya sekadar retorik atau sarkastik, penulis berjiwa hamba tetap berjuang. Apa peduli nasib sendiri. Sama ada setaraf pelarian atau mangsa diskriminasi.

Penulis sejati tidak pernah merdeka hidupnya. Penulis sejati berjuang memerdekakan karya di dalam jiwanya!

Adoi! Jadi bersemangat pula. Namun, kesedihan tetap ada… – 28 April, 2019.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen