Sindiket judi dalam talian bernilai AS$1 bilion di Vietnam tumpas


Perjudian haram dalam talian adalah masalah besar di Vietnam, pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran menumpaskan sindiket yang mengendalikan pertaruhan mencecah AS$1 bilion. – Gambar AFP, 28 April, 2019.

POLIS Vietnam menumpaskan sindiket judi dalam talian yang mengendalikan lebih AS$1 bilion pertaruhan dan menahan 22 orang, menurut laporan semalam, yang dipercayai kes perjudian dalam talian terbesar pernah ditumpaskan di negara komunis itu.

Kebanyakan bentuk perjudian diharamkan di Vietnam tetapi pasaran gelap menyediakan pertaruhan haram terutama untuk sukan tumbuh bak cendawan selepas hujan. 

Serbuan besar-besaran dilakukan di seluruh negara minggu ini selepas penemuan ratusan akaun dikaitkan dengan sindiket tersebut mencecah AS$1.28 bilion, lapor akhbar Thanh Nien.

Operasi sindiket yang canggih dan rumit menyukarkan pihak berkuasa mengesannya, kata laporan yang memetik kenyataan sumber polis.

Modus operandi sindiket menghendaki penjudi melawat laman web Fxx88.com dan diminta memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun bank yang ditukar sebagai mata wang virtual untuk digunakan dalam perjudian bola sepak.

Penjenayah menyembunyikan kegiatan mereka dengan menggunakan akaun bank dengan wang sedikit untuk melakukan transaksi.

Setakat ini, 22 orang sudah ditahan termasuklah 12 penganjur, kata polis.

Pihak berkuasa enggan memberikan butiran lanjut kes itu.

Negara satu parti itu mula melonggarkan peraturan perjudian dalam negara, membenarkan rakyatnya berjudi di kasino dalam tempoh percubaan dan membuka pusat perjudian sukan.

Tetapi, operasi perjudian haram terus berkembang menyebabkan tindakan besar-besaran diambil.

Tahun lepas, 91 orang- termasuk beberapa pegawai tinggi polis- dipenjarakan atau didenda kerana kaitan dengan sindiket perjudian yang mengendalikan pertaruhan mencecah AS$420 juta.

Antara yang dipenjara ialah bekas ketua “jabatan teknologi tinggi” yang bertanggungjawab mengawal dasar perjudian dalam talian di Kementerian Keselamatan Awam yang berpengaruh besar di negara itu.

Siasatan kes itu masih berjalan.

Bekas ketua inspektor di Kementerian Maklumat dan Komunikasi turut ditahan di Hanoi pada Khamis lepas kerana gagal mengesan aktiviti perjudian haram sindiket AS$420 juta itu.

Parti komunis diterajui pemimpin konservatif Nguyen Phu Trong melancarkan gerakan besar-besaran anti korupsi di seluruh negara.

Berpuluh eksekutif, bekas pegawai dan pegawai kerajaan sudah dipenjara, manakala gangguan terhadap aktivis negara itu juga dilaporkan semakin meningkat. – AFP, 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen