SERANGAN udara berlaku pada malam Ahad di ibu kota Libya, Tripoli, menurut wartawan AFP dan penduduk yang mendengar letupan kuat.
Lokasi serangan tidak dapat dipastikan, tetapi guruh jet pejuang kedengaran di seluruh bandar sebelum letupan kuat tercetus antara jam 11.00 pm dan tengah malam.
“Kami mendengar tembakan berterusan daripada mesingan dan senapang anti pesawat dan beberapa serangan udara, tapi kami tak tahu di mana,” kata seorang penduduk barat Tripoli kepada AFP.
“Di Facebook, pengguna berkata awak perlu tinggalkan rumah jika tinggal berhampiran kem atau tempat kumpulan bersenjata mengambil tempat,” tambahnya.
“Tetapi, kami terlalu takut hendak keluar pada lewat malam.”
Tentera setia kepada kerajaan diiktiraf PBB dan pejuang dibawah kawalan Khalifa Haftar sudah bertempur sejak tiga minggu lepas.
Tentera Haftar melancarkan serangan pada 4 April untuk merampas ibu kota itu.
Selepas tentera setia kepada kerajaan perpaduan di Tripoli mula membalas serangan minggu lepas, Palang Merah Antarabangsa memberi amaran yang kawasan penduduk di Tripoli kini berubah jadi medan tempur.
Sekurang-kurangnya 278 orang terbunuh dan lebih 1,300 cedera dalam pertempuran itu, menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).
Lebih 35,000 orang pula sudah jadi pelarian, menurut PBB.
Kebanyakan pertempuran berlaku di darat, tetapi serangan udara juga berlaku sesekali.
Tripoli mendakwa tentera Haftar membunuh dan mengusir orang awam, memusnahkan harta benda, merekrut tentera kanak-kanak dan menggunakan senjata berat di kawasan ramai penduduk.
Ia meminta PBB menjalankan siasatan. – AFP, 28 April, 2019.
Komen