Rakyat Afrika Selatan masih belum bebas, kata presiden


Sebahagian besar penduduk Afrika Selatan masih dibelenggu kemiskinan tegar, kadar pengangguran yang tinggi serta masalah rasuah yang berleluasa, kata Presiden Cyril Ramaphosa. – Gambar EPA, 27 April, 2019.

SUDAH suku abad apartheid berakhir di Afrika Selatan, namun sebahagian besar penduduknya dibelenggu kemiskinan tegar, kadar pengangguran yang tinggi serta masalah rasuah yang berleluasa, kata Presiden Cyril Ramaphosa hari ini.

Ketika berucap pada satu majlis di Makhanda atau nama asalnya Grahamstown di selatan negara itu, Ramaphosa berkata; “Rakyat berhimpun di sini untuk meraikan hari pembebasan kami”.

Pilihan raya demokrasi pertama di Afrika Selatan diadakan 25 tahun lalu iaitu pada 27 April 1994. Itulah hari orang kulit hitam yang membentuk tiga suku penduduk mengundi buat kali pertama, mengakhiri pemerintahan kulit putih dan rejim apartheid sejak 1948.

“Kami ingat saat kami memangkah kertas undi buat pertama kali dalam hidup,” katanya pada majlis penghormatan kepada pemimpin anti-apartheid mendiang Nelson Mandela yang juga presiden Afrika Selatan kulit hitam pertama.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjadi bangsa yang bebas apabila ramai lagi yang masih hidup miskin.

“Kita bukan sebuah negara yang bebas apabila begitu ramai kekurangan makanan, tiada tempat tinggal sempurna, tidak mendapat penjagaa kesihatan berkualiti, hidup tidak bermakna,” tambah Ramaphosa.

“Kita bukan bangsa yang bebas apabila dana yang sepatutnya untuk orang miskin dibaziran, hilang atau dirompak… apabila masih ada lagi rasuah dalam negara kita sendiri.”

Ramaphosa adalah pemimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), parti yang berkuasa sejak apartheid dihapuskan.

Beliau mengambil alih jawatan dari bekas presiden Jacob Zuma pada 2018. Zuma dipaksa meletak jawatan ekoran terlibat dengan skandal rasuah. – AFP, 27 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen