Sokongan terhadap Pakatan merosot tak menghairankan, kata penganalisis politik


Ragananthini Vethasalam

Kegagalan Pakatan Harapan menunaikan beberapa janji utama yang terkandung dalam manifesto mereka terutamanya melibatkan isu kos sara hidup mempengaruhi tahap sokongan pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2019.

TAHAP sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) merosot ekoran kegagalan melunaskan janji, menteri Kabinet yang tidak berpengalaman, ‘u-turn’ dan komunikasi yang teruk bukanlah sesuatu yang menghairankan, kata penganalisis politik.

Kajian oleh Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini jatuh kepada 46% berbanding 71% pada Ogos.

Hanya 39% rakyat Malaysia yang berpuas hati dengan kerajaan PH yang bakal masuk setahun mentadbir beberapa minggu lagi.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku seperti prestasi kerajaan, keadaan ekonomi serta kebimbangan terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu, kata penganalisis politik.

Kegagalan PH menunaikan beberapa janji utama yang terkandung dalam manifesto mereka terutamanya melibatkan isu kos sara hidup mempengaruhi tahap sokongan pengundi.

Profesor Madya  Jeniri Amir dari Universiti Malaya Sarawak dan James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata hasil kaji selidik itu memang sudah dijangka.

Jeniri berkata janji PH bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan mengurangkan kos sara hidup langsung tidak bermakna kerana tiada penurunan ketara dalam harga barangan berbading semasa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan.

Ini katanya antara beberapa janji yang gagal PH penuhi.

“Saya tak fikir mereka sedang menunjukkan yang kita menuju Malaysia Baharu sebenar melalui pembaharuan dari segi ketelusan dan tadbir urus yang baik,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Namun, beliau mengakui PH dibelenggu isu dan masalah yang diwarisi dari kerajaan lama.

Chin pula berkata, meskipun beliau mengakui PH gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam manifesto, ini bukan bermakna kerajaan yang masuk setahun usianya itu gagal sepenuhnya.

“Realitinya ialah PH gagal memenuhi janji-janji utamanya selain daripada perbicaraan Najib. Berita baiknya, PH ada empat tahun lagi untuk perbaiki diri sebelum PRU15,” katanya, merujuk kepada perbicaraan kes SRC International Najib Razak yang sedang berjalan. – 27 April, 2019.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen