LEBIH banyak negara menyertai Inisiatif ‘Jalur dan Laluan’ yang menyaksikan perjanjian bernilai AS$64 bilion ditandatangani dalam sidang kemuncak program infrastruktur global itu, kata Presiden China Xi Jinping.
Jinpung dan 37 pemimpin dunia menutup tirai forum itu selama tiga hari di Beijing dengan ikrar untuk memastikan projek itu menjamin kestabilan kewangan dan kehijauan susulan kebimbangan tentang bebanan hutang dan kerosakan alam sekitar ekoran pelaksanaan program itu.
“Kita komited untuk menyokong pembangunan terbuka, bersih dan hijau dan menolak sentimen melindungi sebarang salah laku,” katanya kepada pemberita pada akhir forum itu.
Dasar luar Jinping mahu mencipta semula Laluan Sutera purba untuk menghubungkan Asia ke Eropah dan Afrika melalui pelaburan besar-besaran dalam projek maritim, jalan dan kereta api - dengan beratus-ratus bilion dolar dalam pembiayaan dari bank-bank China.
Namun pengkritik berkata program itu merupakan usaha Beijing meluaskan pengaruh di dunia selain menguntungkan syarikat China dan menyebabkan negara yang terlibat dibebani hutang serta merosakkan alam sekitar.
Amerika Syarikat (AS), India dan beberapa negara Eropah melihat projek ini dengan penuh sangsi. Washington tidak menghantar wakil pada sidang tersebut.
“Forum kali ini menyampaikan mesej jelas iaitu lebih banyak rakan dan sekutu akan menyertai kerjasama Jalur dan Laluan ini,” kata Jinping.
Beliau berkata perusahaan akan menjadi pemacu projek Jalur dan Laluan ini dan prinsip pasaran akan digunakan dengan kerajaan terlibat akan memainkan peranan sebagai sokongan.
“Ini menjadikan projek tersebut lebih mapan dan mewujudkan situasi adil dan tidak mencemarkan alam sekitar bagi pelabur asing,” katanya.
Jinping berkata mesyuarat perniagaan dalam kalangan pemimpin menyaksikan perjanjian AS$64 bilion dimeterai, tetapi beliau tidak mengulas lanjut perkara itu.
Antara pemimpin yang hadir termasuk Presiden Rusia Vladimir Putir, Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte yang merupakan anggota G7 pertama menyertai sidang kemuncak Jalur dan Laluan. – AFP, 27 April, 2019.
Komen