LOKASI tragedi terbaru negara, tempat terkorbannya 23 nyawa dalam kebakaran di sebuah pusat tahfiz, adalah sebuah perkampungan Melayu di tengah ibu kota yang bergelut dengan perubahan demografi di sekelilingnya.
Kampung Datuk Keramat dikelilingi oleh beberapa hartanah mewah dan ikonik negara tetapi juga menempatkan sebahagian warga Kuala Lumpur, antara yang paling miskin.
Di petempatan itulah, yang menurut penduduknya bermula pada 1950-an, 21 pelajar dan dua guru terbunuh dalam kebakaran yang disifatkan sebagai antara yang terburuk di Malaysia.
Tujuh budak lelaki, paling kecil umurnya 11 tahun, ditahan untuk siasatan berhubung kebakaran itu yang dipercayai berpunca daripada kejadian ejek-mengejek antara mereka dengan pelajar pusat tahfiz berkenaan.
Tragedi itu yang kini disiasat sebagai kes bunuh jadi lampu sorot terang menyuluhi petempatan itu, yang sebelum ini terkenal juga sebagai sarang samseng dan masalah sosial.
Tetapi di sebalik kebakaran itu bukan hanya kisah tentang bagaimana tekanan hidup di tengah bandar bertukar jadi kes budak nakal terburuk dalam negara.
Ia sebenarnya cermin perubahan wajah sosio-ekonomi sebuah masyarakat dan bagaimana Kuala Lumpur bergelut menguruskan segala perubahan itu.
Seperti satu lagi petempatan Melayu yang lain, Kampung Baru, Datuk Keramat diapit oleh kondominium yang menjulang langit, pusat membeli-belah mewah dan banglo yang terasing.
Di sebelah selatannya, tampak megah menjulang tinggi Menara Berkembar Petronas. Di sebelah timur, ia dihimpit oleh Jalan Ampang dan deretan kedutaan dan suruhanjaya tinggi.
Di Ampang dan Wangsa Maju di sebelah utara dan barat tersusun deretan rumah kelas menengah atas, tempat sebahagian penduduk Datuk Keramat bekerja antaranya sebagai tukang cuci, tukang kebun dan kerani.
Datuk Keramat secara tradisinya tempat pekerja kurang mahir yang membantu melancarkan perjalanan Kuala Lumpur, kata Ahi Parlimen Titiwangsa Johari Ghani.

“Ada ramai pendatang, kebanyakannya dari Indonesia. Mereka ini melakukan kerja yang rakyat Malaysia tidak mahu buat, kerja yang menggerakkan Kuala Lumpur.”
Penduduknya sekarang adalah campuran kakitangan awam rendah dan peniaga kecil, kata Johari.
Orang Melayu di Datuk Keramat kebanyakannya mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur, kata Rahman Nik, seorang ahli jawatankuasa surau berdekatan pusat tahfiz.
“Mereka datang dari merata negeri, ada Perak, ada Terengganu. Banyak juga bekas askar pencen,” kata Rahman, yang tinggal di Datuk Keramat sejak dua dekad lalu.
Kompleks Kementerian Pertahanan atau Kementah juga terletak berhampiran Kampung Datuk Keramat di sebatang jalan yang boleh tembus ke Wangsa Maju.
Syak wasangka serta sikap endah tak endah dalam kalangan penduduk yang datang dari pelbagai latar belakang sangat ketara dan mereka yang ditemui mendedahkan tidak tahu tentang adanya Rukun Tetangga atau persatuan penduduk atau siapa ketua kampungnya.
Kelompok ini sangat penting kepada penyatuan sosial di sesebuah kawasan yang besar seperti di Datuk Keramat yang mempunyai bilangan penduduk antara 30 hingga 40 ribu orang. Kawasan seluas itu sama besarnya dengan beberapa kawasan parlimen kalau digabungkan tetapi kawasan ini hanya ada seorang wakil rakyat.
Penduduk seperti Rahman menyalahkan masalah budak nakal ini pada pendatang yang didakwanya membekalkan dadah kepada anak-anak muda.
Seorang lagi penduduk, Lokman Hakim, 17, menyalahkan anak-anak pendatang kerana jadi pengaruh jahat pada anak-anak tempatan.
Namun kehadiran pihak berkuasa polis yang sering meronda kawasan memastikan kawasan itu tidak ada jenayah besar kecuali vandalisme dan kecurian kecil, kata kawannya, Zulfadli Mohd Zaulir, 17.
“Ada banyak polis meronda waktu pagi dan malam. Jadi tak ada banyak kes ragut.”
Johari bagaimanapun memberi amaran untuk tidak menyalahkan masyarakat pendatang.
“Masalahnya juga ialah banyak tuan rumah warga Malaysia yang menyewakan kediaman kepada orang yang menawarkan sewa tinggi dan tidak peduli duit sewa itu datang dari mana. Mereka pun tidak datang dan tengok bagaimana berapa ramai orang berhimpit dalam rumah dan siapa sebenarnya mereka ini,” kata wakil rakyat itu.
Masalah sosial, katanya, adalah hakikat kehidupan di semua bandar besar di Malaysia dan tidak terkecuali di Datuk Keramat, namun beliau menekankan apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang lazim.
“Tidak betul kononnya tidak ada persatuan penduduk dan sebagainya. Tidak betul juga kononnya semua pendatang dan anak-anak mereka memberi pengaruh tidak elok. Isunya ialah ada beberapa masalah yang terlepas daripada usaha terbaik kita menanganinya.” – 19 September, 2017.
Komen