Tahfiz terbakar sedarkan penduduk tentang isu terabai


Muzliza Mustafa Diyana Ibrahim Sheridan Mahavera

Penduduk Kampung Datuk Keramat Hujung mula bimbang dengan pembabitan tujuh budak lelaki dengan kebakaran pusat tahfiz yang dilihat mewakili trend budak-budak nakal yang semakin menjadi-jadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 September, 2017.

MEREKA adalah anak-anak yang pernah dilihat oleh hampir semua penduduk di situ tetapi tidak ada seorang pun yang pedulikan mereka. Sekarang, mereka mendapat perhatian seluruh negara.

Bagi penduduk Kampung Datuk Keramat Hujung, tujuh budak lelaki yang ditangkap bersabit kebakaran sebuah pusat tahfiz di situ mewakili trend budak-budak nakal yang makin menjadi-jadi dan membimbangkan mereka.

Mereka menerimanya sebagai sebahagian daripada resam hidup di kota Kuala Lumpur yang serba deras yang menghimpit hubungan kekeluargaan dan memaksa ibu bapa pejam sebelah mata pada masalah anak-anak mereka.

Walaupun mereka bersidai di sebuah tasik dekat taman permainan sampai pukul 4 pagi, budak-budak ini masing-masing membuat hal sendiri. Walaupun mereka disyaki ketagih gam, mereka tidak merompak sesiapa dan tidak juga mencuri beg tangan.

Namun penduduk di sini tidak percaya betapa kenakalan budak-budak yang mereka bimbangkan itu kemudiannya menyebabkan sebuah pusat tahfiz dibakar sehingga 21 pelajar dan dua gurunya meninggal dunia.

Adnan Zakaria yang tinggal di Kampung Datuk Keramat Hujung sejak 40 tahun lalu percaya kebanyakan remaja nakal yang sering berkeliaran di situ berasal daripada keluarga porak peranda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 September, 2017.

“Budak-budak yang melepak di tasik itu bermasalah. Mereka hisap dadah dan buat bising. Tetapi mereka buat tak kacau orang,” kata penduduk Adnan Zakaria yang tinggal di Kampung Datuk Keramat Hujung sejak 40 tahun lalu.

“Kumpulan mereka besar, kadang-kadang ada sampai 20 orang termasuk yang umur 13 tahun, saya rasa.”

Adnan percaya kebanyakan budak-budak itu tinggal di flat kos rendah di Jelatek dan sesetengahnya datang dari rumah yang porak peranda.

“Mak ayah bekerja, ada saya kenal mak ayahnya. Ada juga saya bercakap dengan mereka dan suruh mereka balik kalau duduk melepak lama-lama. Tetapi mereka tak pernah ugut atau melawan, mungkin sebab saya kenal mak ayah dia,’ kata Adnan yang rumahnya tak jauh dari tasik itu.

Menjelang Subuh pada 14 September lepas, 21 pelajar dan dua guru Darul Quran Ittifaqiyah maut dalam kebakaran yang menjilat tingkat atas bangunan pusat tahfiz itu.

Tujuh budak lelaki, antaranya ada yang dipercayai sebahagian daripada kumpulan yang selalu melepak di tasik di belakang pusat tahfiz itu direman kerana disyaki terlibat dalam kebakaran tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata penghadang yang dibina sembrono di tingkat atas bangunan tersebut menyukarkan mangsa menyelamatkan diri ketika api marak.

Penghadang itu, kata bomba, tidak ada dalam pelan asal bangunan yang dikemukakan oleh artikeknya pada 2015 bagi tujuan pemeriksaan keselamatan. Selain itu, tiada permohonan dibuat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melakukan pemeriksaan keselamatan selepas bangunan siap.

Nurul Syazwaneey Zahari melahirkan kebimbangan membesarkan anak dalam persekitaran yang tidak sihat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 September, 2017.

Nurul Syazwaneey Zahari, 25, yang sarat mengandungkan anak sulung, adalah antara ibu bapa yang bimbangkan persekitaran tempat dia akan membesarkan anaknya nanti.

“Cikgu-cikgu di sini pun suruh kami hantar anak ke sekolah lain. Itulah yang saya akan buat,” kata surirumah itu.

Katanya, memang satu kebiasaan melihat budak-budak malah sekecil 10 tahun melepak di siang hari.

“Kita nak nasihat tak boleh, Bukannya mereka hendak dengar. Mereka biasanya datang berkumpulan dan duduk-duduk saja tak buat apa-apa,” kata Nurul Syazwaneey.

Penduduk lain seperti Bani Omar juga pernah cuba bercakap dengan budak-budak itu tetapi kadang-kala tidak berhasil.

“Kita tegur mereka, mereka tak melawan, tapi jaga-jaga. Esok bangun pagi tengok-tengok kereta dah kena calar, tayar kena kelar, benda-benda macam itu,” kata pesara berumur 75 tahun itu.

Sesetengah penduduk menyalahkan gejala budak-budak nakal itu pada anak-anak pendatang Indonesia yang bermasalah di sekolah dan jadi pengaruh buruk kepada anak-anak Melayu setempat.

Tetapi Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani memberi amaran supaya jangan pukul rata masyarakat pendatang sebagai punca kerana anak-anak mereka bercampur dengan anak-anak masyarakat setempat.

“Apa yang banyak orang tak tahu ialah kadang-kadang budak-budak ini tidak boleh masuk sekolah kerana ibu bapanya hanya ada taraf penduduk tetap.

“Anak-anak ini lahir di sini tetapi mereka hanya dapat kad pengenalan apabila umur 12 tahun. Tetapi pada masa itu, mereka sudah bermasalah dan keluarga mereka hilang punca macam mana hendak membetulkannya.”

Warga emas Bani Omar mengakui pernah cuba mendekati dan bercakap dengan remaja lelaki yang sering berkeliaran dan melepak di sekitar kawasan Kampung Datuk Keramat tetapi sering tidak membuahkan hasil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 September, 2017.

Johari berkata satu pendekatan jangka panjang diperlukan untuk mengintegrasikan kanak-kanak daripada kumpulan pendatang ini termasuk mengubah dasar kemasukan ke sekolah.

“Pendatang ini tidak ada tempat lain hendak pergi dan mereka ini penting kepada ekosistem kota kerana mereka melakukan kerja yang rakyat Malaysia sendiri tidak mahu lakukan.

“Kita perlu ada dasar menyeluruh yang lebih baik menyentuh soal pendatang termasuk mengintegasikan mereka ke dalam arus perdana,” katanya.

Penduduk lain seperti Rahman Nik yang bekerja di surau di kawasan ini percaya penduduk Melayu setempat juga mesti mengambil pendekatan lebih aktif terhadap budak-budak nakal, dan bukannya tidak mengendahkan mereka.

“Selepas ini (kebakaran), saya akan lebih tegas. Saya tidak akan diam atau pejam sebelah mata. Saya akan jumpa mak ayah budak-budak yang bermasalah. Minta mereka tengokkan anak-anak. Kita tak boleh biarkan saja lagi macam itu.” – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen