RIBUAN penumpang syarikat penerbangan Air India terkandas di lapangan terbang di seluruh dunia ekoran masalah perisian yang dihadapi oleh syarikat penerbangan itu hari ini.
Lebih 80 penerbangan domestik dan antarabangsa tertangguh selama enam jam selepas perisian yang digunakan untuk daftar masuk penumpang mengalami masalah teknikal.
“Sistem daftar masuk syarikat kami mengalami masalah disebabkan rutin naiktaraf perisian itu. Masalah itu selesai selepas enam jam,” kata jurucakap Air India Praveen Bhatnagar.
Bhatnagar berkata tiada penerbangan dibatalkan dan operasi syarikat itu dijangka pulih sepenuhnya pada lewat hari ini.
Industri penerbangan India berdepan masa depan yang tidak menentu selepas syarikat penerbangan swasta Jet Airways terpaksa menghentikan operasinya selepas gagal mendapatkan pinjaman bagi meneruskan operasi hariannya.
Perkembangan itu membuatkan Air India mengendalikan lebih 450 penerbangan sehari di seluruh dunia dan tempatan.
Ratusan penumpang menyuarakan rasa marah mereka dalam media sosial ekoran gangguan yang dialami.
Masalah perisian yang berlaku hari ini mengulangi kejadian sama pada Jun tahun lalu yang menyaksikan penerbangan di seluruh dunia terjejas. – AFP, 27 April, 2019.
Komen