IBU bapa di sekolah rendah Los Angeles mengundi sama ada untuk menggugurkan nama Michael Jackson dari auditorium selepas tuduhan pedofilia terhadap penyanyi pop tersebut dalam sebuah dokumentari.
Sekolah Gardner Street yang mempunyai auditorium sempenan nama Michael Jackson telah menjadi isu sejak penyiaran “Leaving Neverland”, sebuah dokumentari HBO yang menuduh penyanyi itu melakukan perbuatan sumbang dan salah laku seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia tujuh dan 10 tahun.
Jackson bersekolah di Gardner Street pada tahun 1969, namun berhenti dari pengajiannya untuk bersama dalam kugiran keluarganya, The Jackson 5, dan berjaya dengan hit pertama mereka, “I want you back”.
Kakitangan di sekolah Gardner Street tidak menyebut sama ada keputusan pengundian minggu ini akan didedahkan.
“Berikutan kenyataan beberapa ibu bapa berkaitan nama auditorium kami sekarang ... Kami beri peluang kepada ibu bapa dan kakitangan untuk memutuskan isu itu,” kata guru besar sekolah berkenaan, Karen Hollis.
Auditorium di sekolah tersebut, yang terletak di tengah-tengah Hollywood, dinamakan sempena nama besar Michael Jackson pada tahun 1989 sebelum tuduhan salah laku seksual yang dihadapi penyanyi tersebut, beliau meninggal dunia pada tahun 2009 ekoran pengambilan dos dadah berlebihan.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun mengadu telah menjadi mangsa Jackson pada tahun 1993, tetapi kes itu diselesaikan di luar mahkamah. Penyanyi itu turut dibicarakan pada tahun 2005 kerana dakwaan salah laku seksual terhadap kanak-kanak lain, namun beliau dibebaskan.
“Nama itu sepatutnya digugurkan, tidak sesuai untuk sekolah rendah. Dokumentari tersebut memberikan gambaran yang sangat jelas mengenai keadaan itu,” kata Robert Fitzgerald, seorang ibu pelajar kepada Los Angeles Times.
Walau bagaimanapun, ibu bapa yang lain tidak bersetuju.
“Orang-orang di negara ini telah melakukan perkara yang lebih buruk, bahkan disabitkan kesalahan namun masih mempunyai nama mereka di bangunan,” kata Myreon Arslan. – AFP, 27 April, 2019.
Komen