PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di Rumah Putih pada Jumaat, antara lain untuk berbincang berkaitan isu dua hala dan perdagangan, lapor agensi berita Xinhua.
Sebelum pertemuan itu, Trump berkata rundingan perdagangan antara kedua-dua pihak akan diadakan, ia adalah “sebab utama perdana menteri (Abe) berada di sini.”
Menurut Trump Washington dan Tokyo mempunyai peluang untuk mencapai perjanjian jangka panjang.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tidak bersepakat mengenai isu tarif.
“Jepun meletakkan tarif yang sangat besar pada pertanian kita ... dan kami mahu tarif itu dimansuhkan,” kata Trump.
Abe dalam reaksi balasnya mendakwa negaranya tidak meletakkan tarif pada kereta AS, sebaliknya Washington mengenakan tarif 2.5 peratus kepada kereta Jepun.
“Kita teruskan rundingan yang sedia ada.Kita akan lihat hasil yang saling menguntungkan bagi kedua-dua negara,” tambah Abe. – Bernama, 27 April, 2019.
Komen