LIMA belas orang maut termasuk enam kanak-kanak dalam serbuan dibuat pasukan keselamatan Sri Lanka apabila tiga pengebom bunuh diri bertindak nekad meletupan diri sendiri selepas dikepung, beberapa pengganas lain pula ditembak mati.
Letupan itu membunuh tiga wanita dan enam kanak-kanak di dalam rumah yang dipercayai polis tempat perlindungan pengganas Islam berhampiran bandar Kalmunai malam tadi.
“Tiga lagi lelaki, juga dipercayai pengebom bunuh diri ditemui mati dalam rumah itu,” kata polis dalam satu kenyataan hari ini.
Polis dengan bantuan tentera berbalas tembakan dengan pengganas di dalam rumah itu hampir sejam, kata pegawai tentera, menambah yang mayat ditemui pagi tadi dalam operasi mencari.
Penembak melepaskan tembakan kepada pasukan keselamatan yang cuba menggempur rumah itu pada malam hari, kata jurucakap tentera Sumith Atapattu menambah yang seorang awam turut terbunuh dalam kejadian itu.
Operasi bersama polis dan tentera itu dilakukan selepas ada petunjuk mendapati penyerang yang terlibat dalam serangan Hari Easter lalu berkumpul di Kalmunai, 370km timur ibu kota negara itu.
Tiada kematian bagi pihak anggota keselamatan, kata polis.
Pertempuran itu berlaku beberapa jam selepas pasukan keselamatan menggempur lokasi berhampiran, dipercayai menjadi kawasan rakaman video ketua pengganas IS Abu Bakr al-Baghdadi sebelum serangan Easter dilakukan.
Polis turut menemui bendera IS dan pakaian seragam serupa dipakai lapan pengganas sebelum melancarkan serangan Ahad lalu di tiga buah hotel mewah dan tiga gereja yang membunuh 253 orang.
“Kami menemui backdrop digunakan kumpulan itu untuk rakaman video terbaru mereka,” kata polis dalam satu kenyataan malam tadi.
IS mengeluarkan video itu dua hari selepas serangan.
Polis menunjukkan pakaian dan bendera IS, serta 150 bahan letupan dan hampir 100,000 bebola besi yang dirampas menerusi saluran TV nasional.
Pasukan keselamatan yang diberikan kuasa darurat memperhebat operasi mencari pengganas Islam yang bertanggungjawab ke atas pengeboman itu. – AFP, 26 April, 2019.
Komen