ZAKIR Naik menuduh kerajaan India memburunya dan memberikan tekanan kepada Interpol untuk mengeluarkan notis merah terhadapnya, lapor Press Trust India.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Mumbai, India, Zakir dipetik berkata beliau sedar akan tekanan yang dibuat oleh kerajaan negara itu kepada polis antarabangsa.
“Ia sebahagian daripada rancangan memburu saya. Tetapi saya boleh sahkan selepas menyemak dengan beberapa negara bahawa tiada notis merah terhadap saya setakat ini,” katanya, seperti dipetik agensi berita itu.
Zakir, yang meninggalkan India sejak 2016 dan kini menetap di Malaysia, kembali jadi perhatian selepas serangan bom ke atas tiga gereja dan empat hotel di Sri Lanka yang membunuh hampir 300 orang pada Hari Easter, minggu lalu.
Dalang serangan itu dikatakan seorang imam yang dipengaruhi dengan ajaran Zakir.
Susulan kaitan Zakir dengan serangan di Sri Lanka, beberapa pihak di Malaysia turut menggesa Putrajaya mengambil tindakan mengusirnya.
Kerajaan India sebelum ini dilaporkan memohon kepada Malaysia sejak Januari tahun lalu untuk menghantar Zakir pulang. Pada Julai tahun lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir tidak akan dihantar pulang selagi beliau tidak berbuat onar di Malaysia.
Notis merah ialah permohonan untuk mengesan dan menahan seseorang sebelum diekstradisi kepada negara pemohon.
Zakir juga dipetik berkata Interpol pernah membatalkan notis merah terhadapnya sebelum ini.
“Sudah lebih setahun setengah sejak kerajaan (India) mengeluarkan kertas pertuduhan dan mengenakan tekanan ke atas Interpol.
“Tetapi setakat ini, saya tiada alasan untuk percaya Interpol akan tunduk terhadap sebarang tekanan yang tidak wajar,” katanya, seperti dipetik PTI.
India menuduh Zakir terlibat menghasut keganasan, mengeluarkan ucapan berbaur hasutan dan mencetuskan ketegangan kaum di India.
Agensi siasatan India juga mendakwa Zakir terlibat dalam pengubahan wang haram.
Zakir lari meninggalkan India selepas pengganas yang terlibat dalam serangan ke atas sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh pada Julai 2016 mendedahkan mereka adalah pengikutnya.
Pada Oktober 2017, beliau dan beberapa yang dilain dituduh di mahkamah di Mumbai.
Beliau didakwa antara lain menghina kepercayaan agama Hindu, Kristian dan beberapa fahaman dalam Islam. Ucapan-ucapannya juga didakwa mempengaruhi orang menyertai gerakan militan Daesh.
Zakir selama ini mempertahankan beliau tidak pernah melanggar undang-undang di India seperti yang didakwa, sebaliknya hanya berdakwah menyebarkan pesan damai. – 26 April, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan