MALAYSIA akan terus melobi Kesatuan Eropah (EU) untuk pasaran minyak kelapa sawit, walaupun masa depan minyak itu masih suram, kata Teresa Kok.
Menteri industri utama itu berkata EU memberitahu pihak bertanggungjawab dari Malaysia awal bulan ini bahawa kesatuan itu akan meneruskan rancangannya untuk menghentikan penggunaan minyak sawit dari bahan bakar bio yang digunakan di rantau itu menjelang 2020.
Pegawai dari Malaysia dan Indonesia telah berkunjung ke ibu pejabat EU di Brussels, Belgium untuk berunding mengenai Akta Pembaharuan Tenaga, yang akan mengharamkan bahan bahan bakar bio yang menjadi punca penebangan hutan.
Lawatan itu adalah rundingan awal menjelang kunjungan delegasi pegawai tertinggi Malaysia yang diketuai Kok ke ibu pejabat EU bulan depan.
Kok berkata delegasi Malaysia-Indonesia diberi tanggapan bahawa bahawa akta pembaharuan tenaga itu akan tetap diteruskan justeru penggunaan minyak sawit akan diharamkan di rantau tersebut.
“Mungkin sukar untuk berunding atau penangguhan, namun peraturan itu akan didedahkan pada bulan Jun 2021,” katanya dalam taklimat media di Putrajaya.
EU telah mencadangkan menghentikan penggunaan bahan bakar bio kelapa sawit di rantau ini menjelang 2020 kerana kebimbangan terhadap alam sekitar.
Malaysia dan Indonesia menganggap cadangan EU itu sebagai diskriminasi kerana ia mengabaikan hakikat bahawa minyak soya, yang juga digunakan dalam bahan bakar bio dan ditanam di Amerika Utara dan Selatan, juga turut menjadi punca penebangan hutan.
Tahun lepas, EU mengimport 1.9 juta tan minyak sawit mentah Malaysia (CPO), menjadikan mereka pembeli kedua terbesar komoditi itu selepas India dengan jumlah 2.51 juta tan.
Kok berkata walaupun keadaan sekarang masih mengecewakan, kementeriannya bersedia untuk terus melobi dan berkempen.
“Sepanjang tempoh ini, kita masih perlu terus berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin EU. Kita perlu lakukan lebih banyak lobi dan berkempen jika kita mahu lihat minyak kelapa sawit kita sebagai produk lima bintang.
“Kita mahu pastikan semua eksport kita ke Eropah disahkan mesra alam.”
Memperluas pasaran
Akibat potensi kerugian di pasaran EU, Kok berkata kementerian sedang giat mencari pasaran baharu.
“Kami turut bekerjasama dengan menteri kabinet sekarang bagi mempromosikan minyak sawit ke seluruh dunia.
“Baru-baru ini Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berada di Arab Saudi untuk mengadakan seminar perdagangan minyak sawit. Saya dimaklumkan bahawa reaksi para peniaga Arab terhadap minyak sawit sangat menggalakkan.”
Beliau menambah bahawa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan mempromosikan minyak sawit apabila beliau melawat Iran dan Rusia.
“Pada dasarnya semua menteri kabinet kita akan jadi jurucakap minyak kelapa sawit.”
Kok juga berkata bahawa Rusia sanggup membeli lebih banyak minyak kelapa sawit dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah mula berhubung dengan mereka.
“Ini adalah beberapa pasaran baru yang kita sedang teroka.
“Semua pemain industri perlu bersama untuk mempromosi minyak kelapa sawit kita sebagai komoditi bergred premium, selamat untuk dimakan dan merupakan minyak lima bintang,” katanya. – 27 April, 2019.
Komen