SEORANG aktivis Bangladesh yang menyelamatkan berpuluh orang ketika kompleks kilang Rana Plaza runtuh pada 2013 membunuh diri disebabkan tekanan berkaitan trauma, kata polis semalam.
Polis berkata Nowshad Hasan Himu, 27, membunuh diri berhampiran bandar perindustrian Savar, Rabu lepas pada sambutan ulang tahun keenam bencana itu, yang membunuh 1,138 orang dalam salah satu tragedi industri terburuk dunia.
“Beliau menyimbah minyak tanah ke badannya dan membakar diri sendiri. Beliau dikejarkan ke Hospital Dhaka tetapi meninggal dunia,” kata Inspektor Asgar Ali kepada AFP.
Katanya, mereka mengesyaki Himu dilanda tekanan, dan kawan-kawannya mengesahkan Himu trauma kerana tragedi itu.
“Beliau tinggal seorang dengan dua anjing dan mengelak berjumpa orang,” kata Ali.
Penghargaan mula diberi kepada Himu yang terlibat dalam politik haluan kiri, dengan sahabat handai mengatakan beliau bergelut dengan pelbagai masalah mental selepas tragedi itu.
“Beliau berada di Rana Plaza melakukan kerja-kerja menyelamat selama 17 hari berturut-turut. Beliau membantu menyelamat berpuluh orang dan mengeluarkan mayat,” kata Taslima Akhter, seorang ketua kesatuan sekerja dan jurugambar kepada AFP.
Akhter berkata Himu menghabiskan masanya di hospital membantu mangsa sepanjang tragedi. Apabila seorang pekerja meninggal dunia seminggu selepas tragedi, beliau membawa mayat pekerja itu ke kampung halaman di pendalaman utara Bangladesh.
Media tempatan dan antarabangsa melaporkan pelbagai kes trauma dihadapi sukarelawan penyelamat Rana Plaza selepas tragedi. Himu adalah sukarelawan pertama yang membunuh diri.
Kematiannya memberi kembali kepada tumpuan kepada jumlah mangsa bencana Rana Plaza, apabila komplek sembilan tingkat itu runtuh pada pagi 24 April 2013, memerangkap lebih 4,000 pekerja di dalamnya.
Menurut tinjauan dilakukan badan kebajikan Action Aid, 10% mangsa selamat Rana Plaza masih trauma selepas enam tahun tragedi itu berlaku.
“Kita lihat ada sebilangan pekerja sukarela yang turut serta dalam kerja menyelamat mempunyai masalah mental,” kata Shuvhomoy Haque yang menerajui tinjauan Action Aid kepada AFP. – AFP, 26 April, 2019.
Komen