JERMAN menghentikan seketika proses permohonan suaka politik pelarian Syria, sementara menunggu semakan terbaru situasi keselamatan di negara perang itu, menurut laporan hari ini.
Kumpulan media Jerman, Funke, memetik sumber Kementerian Dalam Negeri, berkata beberapa keputusan permohonan suaka politik dari Syria “ditangguh” sementara menunggu perubahan garis panduan keselamatan daripada kementerian.
Delegasi Iran, Rusia dan Turki bertemu di Kazakhstan pada Khamis lalu untuk mencari jalan damai menamatkan konflik Syria.
Kesannya, Jerman menghentikan sementara permohonan suaka, dengan badan kebajikan pelarian bimbang kerajaan Angela Merkel akan menolak lebih banyak permohonan dari Syria sekiranya konflik bersenjata sudah tamat, kata Funke.
Menurut laporan Funke, pemohon suaka diberikan “perlindungan subsidari”- terdedah kepada bahaya sebenar, jenayah perang, hukuman mati atau siksaan di negara asal mereka.
Menurut data kerajaan, 17,411 warga Syria diberikan status itu pada 2018.
Jerman berbelah pendapat tentang keputusan Canselor Angela Merkel pada 2015 untuk membuka sempadan kepada pelarian yang melarikan diri daripada perang ketika kemuncak krisis pelarian Eropah.
Sejak itu, kedatangan lebih sejuta pencari suaka- kebanyakannya dari Syria, Iraq dan Afghanistan- mencetuskan kebangkitan puak pelampau haluan kanan dan anti Islam, parti AfD.
Perang saudara Syria yang sudah membunuh lebih 370,000 orang dan berjuta lagi jadi pelarian, bermula dengan protes anti kerajaan pada 2011. – AFP, 26 April, 2019.
Komen