Montreal dilanda banjir besar, darurat diisytihar


Langkah itu membolehkan pihak berkuasa bandar dengan penduduk dua juta orang itu untuk merampas tanah, memulakan pemindahan wajib dan mengeluarkan dana kecemasan. – Gambar AFP, 26 April, 2019.

BANDAR Montreal di Kanada semalam mengisytiharkan darurat kerana banjir selepas langkah sama dibuat Ottawa.

“Air terus naik dan kami bimbang. Selepas perbincangan dengan perkhidmatan penyelamat, saya membuat keputusan mengisytiharkan darurat negeri,” kata Datuk Bandar Valerie Plante kepada wartawan.

Langkah itu membolehkan pihak berkuasa bandar dengan penduduk dua juta orang itu untuk merampas tanah, memulakan pemindahan wajib dan mengeluarkan dana kecemasan.

Kejiranan West Island antara kawasan paling teruk terjejas disebabkan hujan lebat dan salji yang cair.

Lebih 1,100 orang sudah dipindahkan di Quebec, dua tahun selepas kawasan timur Kanada itu dilanda banjir paling buruk sejak separuh kurun lalu.

Di seberang Sungai Ottawa yang memisahkan Ontario dari Quebec, sebuah empangan kecil jadi ancaman selepas tahap airnyanya meningkat memaksa ribuan orang dipindahkan.

Ribuan tentera dikerahkan ke Quebec, apabila lebih 3,100 kawasan kejiranan tenggelam dilanda banjir menurut jumlah rasmi dikeluarkan pihak berkuasa. – AFP, 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen