LUKISAN dihasilkan mendiang pemimpin Afrika Selatan Nelson Mandela mengenai pintu sel penjaranya di Robben Island- dimana beliau dipenjara selama 18 tahun- akan dilelong pada awal Mei di New York.
Bonhams yang menganjurkan lelongan itu pada 2 Mei, meletakkan nilai “The Cell Door, Robben Island”-disiapkan pada 2002 oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu- pada harga AS$60,000 hingga AS$90,000.
Lukisan itu adalah sebahagian daripada jualan karya seni moden dan kontemporari Afrika.
“Istilah ‘ikonik’ terlalu sering digunakan tetapi untuk ada lukisan salah seorang pemimpin terpenting abad ke-20 akan jadi perkara yang menakjubkan,” kata Giles Peppiat, pengarah rumah lelong seni moden Afrika itu kepada AFP.
“Ini adalah kali pertama karya ini dipamerkan kepada umum. Ia juga karya pertama Nelson Mandela dijual dalam pasaran terbuka.”
Lukisan itu menunjukkan beberapa palang pintu penjara dan kunci, berwarna ungu.
Karya tersebut adalah salah yang Mandela- dipenjara selama 27 tahun secara keseluruhan kerana perjuangan menentang aparteid- simpan sehingga beliau meninggal dunia pada 2013.
“Ia karya yang sangat peribadi untuknya,” kata Peppiat, menjelaskan yang Mandela mula menceburi seni selepas berundur daripada kedudukan presiden Afrika Selatan pada 1999.
“Beliau ada lebih banyak masa lapang,” katanya.
Sehingga kini, anak perempuan Mandela, Pumla Makaziwe Mandela menyimpan karya bapanya.
Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan itu menghasilkan antara 20 hingga 25 lukisan, menurut Peppiat. Ada antaranya dikeluarkan sebagai cetakan semula untuk menjana dana bagi Yayasan Nelson Mandela.
Mandela dipenjara sejak 1962 hingga 1990. Beliau ditahan di Robben Island, Cape Town pada 1964 hingga 1982. Mandela menjadi presiden Afrika Selatan bermula 1994 hingga 1999. – AFP, 26 April, 2019.
Komen